Selasa, 14 Februari 2012

 Komunikasi

Komunikasi ialah proses yang bermula apabila sesuatu mesej (maklumat) daripada penyampai kemudian dipindahkan menerusi alat atau saluran khas kepada penerima yang kemudiannya memberi maklum balas (mengekod dan mentafsir)  terhadap mesej tersebut yang mengembalikan isyarat dalam bentuk sama ada mesej tersebut difahami atau tidak difahami (Sulaiman Md Yassin, et.all, 2002)

Komunikasi khalayak pula merujuk kepada proses komunikasi yang tersebar kepada kumpulan sasar yang tertentu. Dalam konteks komunikasi khalayak atau komunikasi awam, penerima sesuatu mesej itu dikenali sebagai khalayak kerana penerima utusan terdiri daripada jumlah individu yang ramai. Walaupun begitu, tidak semua penerima dianggap sebagai khalayak.

Konsep

·      Penyampai : Individu atau sesuatu yang menjadi punca sesuatu komunikasi itu bermula. 

·      Khalayak : Khalayak terdiri daripada individu yang memilih untuk mendedahkan diri mereka kepada sesuatu utusan yang disampaikan oleh sesuatu sumber komunikasi.

·   Mesej: Mesej merupakan sesuatu yang ingin disampaikan dalam bentuk perasaan, fikiran, pendapat atau fakta.

KONSEP KOMUNIKASI KHALAYAK

Sebelum kita cuba mempengaruhi khalayak, malah sebelum kita mula berucap, kita patut memastikan bahawa khalayak sudah bersedia mendengar atau menerima perkara yang hendak kita sampaikan dan mereka berupaya memahaminya. Oleh itu, para komunikator patut terus menganalisis khalayak mereka semasa sesuatu mesej itu sedang disampaikan. Ketika kita menyampaikan mesej kepada khalayak dan sekiranya perlu, kita mesti menyesuai atau mengubah penyampaian kita supaya menjadi lebih berkesan. Sebuah penyampaian bukanlah setakat satu persembahan oleh si komunikator malah penyampaian itu  merupakan satu perlakuan perutusan. Untuk memenuhi kehendak penyampaian itu, komunikator tidak hanya boleh menyampaikan sebarang mesej kepada khalayaknya, malah dia mesti peka kepada tindak balas khalayak terhadap utusan tersebut.

Sering kali para penyampai gagal memberi perhatian kepada khalayak mereka. Walaupun begitu, seseorang penyampai yang berkesan selalunya sedar sama ada khalayak itu faham penyampaiannya dan selalu bersedia untuk menyesuaikan mesej dengan keperluan ciri-ciri khalayak. Usaha ini mengandaikan bahawa sikap memberi dan menerima memang banyak berlaku antara para penyampai dan penerima.

Penerima sesuatu utusan (disebut juga pencerap) bukanlah seorang penerima yang pasif tetapi seorang pekongsi yang aktif dalam proses perutusan. Penerima bertindak balas sama ada secara lisan atau sebaliknya terhadap penyampai. Penyampaian mesej hanya terjadi apabila penerima (pencerap) itu faham apa yang dikatakan oleh si penyampai. Misalnya, apabila seorang Pengetua memberitahu keputusan peperiksaan kepada guru-guru di sekolahnya, para guru bukan sahaja mahu tahu berapa orang yang calon yang mendapat keputusan cemerlang, kepujian atau lulus, malah mereka juga ingin tahu keputusan itu meningkat atau merosot dari segi kualiti dan sebagainya. Jadi mereka mungkin mengemukakan soalan kepada Pengetua. Tegasnya, penyampai  dalam proses komunikasi khalayak  menjangkakan penyertaan aktif penerima. 



3 ulasan:

  1. Anak Belajar dari Kehidupannya
    Jika anak dibesarkan dengan celaan, dia belajar memaki. Jika anak dibesarkan dengan permusuhan, dia belajar berkelahi. Jika anak dibesarkan dengan cemuhan, dia belajar rendah diri. Jika anak dibesarkan dengan penghinaan, dia belajar menyesali diri. Jika anak dibesarkan dengan toleransi, dia belajar menahan diri. Jika anak dibesarkan dengan dorongan, dia belajar percaya diri.Jika anak dibesarkan dengan pujian, dia belajar menghargai. Jika anak dibesarkan dengan perilaku yang amat baik, dia belajar keadilan. Jika anak dibesarkan dengan rasa aman, dia belajar menaruh kepercayaan. Jika anak dibesarkan dengan dokongan, dia belajar menyayangi dirinya. Jika anak dibesarkan dengan kasih sayang dan persahabatan, dia belajar menemukan cinta dalam kehidupan.

    --> kemahiran ini mengajar saya lebih yakin menggunakan bahasa perantaraan yang sesuai mengikut situasi

    BalasPadam