Isnin, 30 Ogos 2010

Hidup ini bukan semudah yang disangka...

Dah lama aku tak menulis. Membaca tulisan teman juga tak berkesempatan. Banyak rupanya yang aku tertinggal. Kadang-kadang terfikir di benak ini... aku ke yang tak pandai membahagikan masa kerana Allah telah beri kita cukup masa untuk menguruskan kehidupan yang dibentangkan. Entahlah. Tambahan sejak akhir-akhir ini terlalu banyak beban yang terpaksa kugalas. Kadang-kadang tidur malamku juga tak lena. Tapi, aku akan tetap ceria ketika bekerja. Apapun aku tetap bersyukur kepada-Mu Ya ALLAH kerana dugaan-Mu buat aku semakin dekat pada-Mu. Kepada teman-teman yang sentiasa menceriakan aku, maaf kupinta kerana sering tak dapat menyertai kalian. Selepas ini tanggungjawabku semakin berat di jabatan. Maafkan aku jika aku tak sempurna. Namun... aku bertuah dapat bersama kalian... Moga kalian memahamiku.
Hidup ini bukan semudah yang disangka. Perjuangan kehidupan kadangkala pahit dan sukar. Namun kesukaran itu akan terubat, jika kita sentiasa yakin bahawa ALLAH SWT sentiasa bersama-sama orang yang sabar.
       

Isnin, 17 Mei 2010

Audit PISMP Ambilan 2007

Sepanjang minggu ini akan berlangsung audit susulan bagi PISMP Amb. 2007. Semoga dengan audit susulan ini semua kelemahan akan dapat diatasi sebelum audit sebenar oleh pihak MQA pada bulan Julai nanti. Audit susulan ini dilaksanakan untuk membantu pihak pengurusan IPG khususnya Kampus Raja Melewar memperbaiki sistem kawalan dalaman dan mengukuhkan intergriti dalam semua aktiviti yang dijalankan melalui pendekatan yang sistematik. Seterusnya untuk meningkatkan akauntabiliti dan memastikan penggunaan sumber-sumber secara efisien dan efektif tanpa menggugat kualiti perkhidmatan. Sebagai pensyarah perkara-perkara berikut perlu diambil perhatian serius,
1.  Objective Evidence
2.  LAM PT 09-02
3.  Bahan rujukan pengajaran dan pembelajaran
4.  Kerja Kursus pelajar.
Rektor juga mengingatkan kepada semua tenaga pengajar agar menyediakan beberapa buah buku rujukan yang MESTI dibaca oleh pelajar bagi tujuan meningkatkan kemahiran berfikir mereka.
Semoga majlis audit berjalan lancar dan mencapai kualiti dan matlamat seperti yang dihasratkan.

Selasa, 11 Mei 2010

Harum Menghilangkan Bau

Emosi amat diperlukan untuk pengendalian diri, semangat dan ketekunan serta kemampuan memotivasikan diri sendiri dan bertahan menghadapi kegagalan. Menurut Mayer dan Salovey, kepintaran emosi membenarkan kita berfikir secara kreatif dan menggunakan emosi bagi menyelesaikan masalah. Individu yang dapat mengawal dan memahami emosinya adalah individu yang mempunyai kecerdasan. Kajian menunjukkan kecerdasan emosi bekerja pada bahagian otak kanan. Seseorang yang berfikir dengan otak kanan adalah mereka yang bersifat imaginatif, terbuka, ceria dan riang. Hakikatnya kecerdasan emosi menjadi tunjang kepada kecerdasan intelek dalam menjamin kualiti produk yang dihasilkan. Pendidik bukan sahaja perlu mengetahui elemen kecerdasan emosi tetapi mereka juga harus menyedari, memahami dan mengimplementasikan elemen itu dalam semua mata pelajaran yang diajar. Justeru janganlah hendaknya peristiwa yang baru berlaku berulang kembali. Memalukan... bijak tetapi tipis ilmu???

Jumaat, 7 Mei 2010

Segamat....tinggal kenangan indah.

Alhamdulillah, Bengkel Penghayatan KOMSAS selesai dilaksanakan di SK Temenggong Abdul Rahman, Segamat. Tahniah diucapkan kepada semua peserta kursus yang bersungguh-sungguh mengambil bahagian dalam bengkel tersebut. Harapan saya, apa yang dipelajari akan digunakan di sekolah. Sesungguhnya teknik dan strategi yang dipelajari mampu memberikan keseronokan belajar kepada murid-murid. Saya juga berharap peserta kursus yang hadir akan menyebarluaskan ilmu yang dipelajari kepada rakan guru di sekolah masing-masing.
Saya bangga  setiap aktiviti yang dilaksanakan semasa bengkel, memperlihatkan kesungguhan peserta yang tidak berbelah bagi. Seronok melihat peserta-peserta menyanyi, berseloka, bergurindam, berpantun, berdrama dan bersyair. Mereka semuanya memang GURU yang hebat dan berbakat. Tahniah...

Rabu, 3 Mac 2010

Masa dan Usia

Sedar tak sedar, masa terlalu pantas meninggalkan diriku. Sedar-sedar sudah berada di sini. Tak sedar-sedar, tak mungkin dapat kukejar. Terlalu jauh..... Tak pasti, apakah semua keperluan telah kupenuhi. Kadang-kala  kurasakan aku seperti anak-anak kecil yang masih perlukan belaian ibu dan ayah. Seronok berada dalam dakapan mereka...
Masih dalam usaha untuk lebih akrab dengan diri sendiri. Akan terus berusaha, moga makin kenal diri, lebih hampir cahaya Illahi. Apakah yang sudah kulakukan sepanjang usia dikurniakan. Apakah yang telah dihabiskan dengan masa yang dibentangkan. Apa yang pasti usia makin bertambah, masa makin berkurang. Terima kasih atas doa yang kalian titipkan. Tak mungkin kulupa. Doa supaya saya selamat, bahagia dan doa apa yang kuhajat tercapai. Jangan lupa doakan agar ilmuku tentang Islam bertambah kerana semakin banyak saya membaca, semakin banyak rupanya yang belum saya ketahui. Doakan agar saya istiqamah. Kepada anak-anak didikku, jangan lupa doakan gurumu. Jangan kecil hati atas teguranku. Marah gurumu adalah kasih sayang yang tidak berbelah bagi...

Rabu, 10 Februari 2010

Selamat Hari Lahir

Selamat Hari Lahir Manis,
hendaknya kebahagiaan sentiasa mengiringi perjalanan hidupmu...
hendaknya senyuman sentiasa menghiasi bibirmu...
hendaknya mimpi indah sentiasa mengulit tidurmu...
semoga kau tabah dalam apa jua dugaan dan cabaran yg tiba...
selamat hari lahir.
ikhlas dariku untukmu....

Selasa, 9 Februari 2010

Tak Mengapa (buat teman yang kehilangan)

Tidak mengapa
Jika kau kehilangan
tak memperoleh semula
kau tidak akan papa

Jika kau merasa kecewa
Itu tidak wajar
kerana kehilangan yang sebenar
ialah kehilangan iman dan pegangan
wajar kau tangisi
wajar kau kesali
kerana kehilangan ini
tidak ada pengganti

Tidak mengapa
kehilangan sementara
penuh hikmah
tanda kau disayangi!

Jumaat, 5 Februari 2010

Tak sangka selisih kereta jenazah rakan maut nahas

Tak sangka pada jam 12 tengah hari hari Jumaat (5 Februari) ketika perjalanan pulang dari tempat kerja, saya selisih dengan kereta jenazah yang diiringi oleh ramai Pegawai Polis bermotosikal. Saya menyisir ke tepi untuk beri laluan. Mulut tetap mengucapkan Innalillah Wainnaillaihirajiuun, insan ini bertuah kerana dijemput pada hari yang mulia, hari Jumaat. Yang mengiringi jenazah, ramai rupanya. Hati berkata, mesti orang besar. 

Berita TV 3 tengah hari mengejutkan saya, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan II), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Hazam Abd. Halim maut nahas jalan raya. Mulalah kenangan mengimbau kembali. Saya bertanya pada diri saya adakah mangsa nahas, rakan saya ketika bersekolah dahulu. Melihat gambarnya, sah. Mohd Hazam ialah rakan ketika berada di Tingkatan 6. Kumpulan kami sama-sama naik bas ke sekolah. Saya dari Bahau dan arwah serta rakan-rakannya dari Batu Kikir.

Arwah seorang yang pendiam, tak banyak bercakap dan baik hati. Boleh dikatakan arwahlah pelajar cemerlang dalam kelas kami. Rasanya baru sangat saya bertemu dengan YB Datuk Syamsul Kahar (kira-kira 3 bulan lepas di Hospital KPJ. Ketika itu YB Datuk sedang mengiringi ibunya yang sakit dan saya menghantar ayah) yang ada menyebut bahawa beliau bangga sangat, rakan-rakannya semua dah berjaya. Dari beliaulah saya tahu arwah memegang jawatan tinggi dalam PDRM. Walaupun lama tak berjumpa, YB Datuk masih mengenali saya. Datuk banyak bercerita tentang teman-teman sekelas yang hampir semua telah berjaya memegang jawatan tinggi dalam kerajaan. Terdetik juga di hati saya ketika itu, alangkah seronoknya jika kami dipertemukan semula. Sebenarnya, saya, Datuk Syamsul Kahar Mohd Deli, Datuk Mohd Hazam Halim (arwah), Ramli Osman (JPNS) ialah rakan sekelas ketika berada di tingkatan 6 di Sekolah Menengah Zaaba, Kuala Pilah. Yang lain tak dapat saya jejaki.

Allah jua Maha Berkuasa, rupanya saya hanya sempat selisih dengan kereta yang membawa jenazahnya. Moga Allah menempatkan arwah di tempat orang-orang yang soleh. Takziah kepada keluarga arwah. Memang perit, kehilangan orang yang disayangi. Apa yang mampu saya katakan, hanyalah SABAR dan REDA.... Al-Fatihah.

Isnin, 25 Januari 2010

Terima Kasih

Terima kasih buat En. Azmi yang telah menaja makan tengah hari selepas mesyuarat JPM pada 25 Januari. Tak pernah rasa nasi beriani sesedap itu. Memang enak. Mungkin aura orang yang belanja. Moga murah rezeki, dipermudahkan segala urusan, dan bahagia selalu hendaknya. Ada rezeki kongsi-kongsilah lagi...

Khamis, 14 Januari 2010

Selamat Hari Keputeraan

Rabu, 13 Januari 2010

Azam itu Bersendi Akal berpangkal Agama

2010 telah 15 hari melabuhkan tirainya. Terlalu cepat masa berlalu. Ini bermakna telah 15 hari saya berada di Jabatan Pengajian Melayu yang penuh ceria, pasti duka terubat dengan gurau senda, usik mengusik taulan JPM. Untuk mempersiapkan diri ke arah azam tahun baru seharusnya diberikan perhatian kepada pembangunan "Minda Kelas Pertama". Walaupun suaranya telah lama, namun misinya belum direalisasikan ke tahap optimum. Pembangunan modal insan bermutu tinggi merupakan keperluan yang dahulunya mungkin hanya dianggap sebagai suatu kemewahan terutama dalam bidang pendidikan hari ini.

Saya berharap dapat bersama-sama sahabat JPM mengatur strategi ke arah penguasaan ilmu pengetahuan, mempersiapkan diri dengan memiliki kemantapan informasi serta kemahiran. Budaya membaca, sumbangan ilmu, teknologi maklumat dan prointelektual merupakan budaya yang sangat menyumbang ke arah strategi ini. Saya tertarik dengan kata-kata seorang penceramah ketika menghadiri kursus kecemerlangan diri tahun lepas yang antara lain katanya,

Orang yang berfikiran besar, akan bercakap tentang ilmu
Orang yang berfikiran sederhana, akan bercakap tentang peristiwa
Orang yang berfikiran rendah, akan bercakap tentang orang lain
Orang yang berfikiran cetek, akan bercakap tentang diri sendiri.

Saya bangga kini berada bersama-sama sahabat di JPM kerana dengan kesungguhan pensyarah-pensyarahnya yang diterajui oleh Ketua Jabatan Puan Hjh Amanah bt Mohd Noor dan Ketua Unit, Dr. Khairuddin b. Mohammad telah meletakkan JPM di barisan hadapan. Sekalung TAHNIAH buat kalian.

Apapun, saya berpandangan "Minda Kelas Pertama" perlu digilap dengan asas ke Islaman yang menggalakkan peningkatan terhadap kemajuan dan pembangunan untuk meneruskan kualiti hidup. Saya dapat rasakan budi bahasa, hidup dan hangat dengan nilai murni dalam perhubungan harian di JPM. Namun, tidak dinamakan kehidupan, jika tidak ada kekusutan, tidak dinamakan kematangan, jika tidak ada kekalutan, bulat air kerna pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Justeru, yang dikata benar itulah yang diperbuat dan taqwa itu tetap setia memandu pena menyurat.

Akhir kalam, untuk melarik minda kelas pertama, sama-samalah kita membina tamadun ilmu yang unggul. Berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang mempunyai segala formula terbaik ummah minda kelas pertama. Pastinya......

Hidup dikandung tanah
yang nyata binatang tahan palu
manusia tahan kias
walau ada kilat dalam kilau
bukanlah ibarat bergantung tidak bertali
bersalai tiada berapi
belum duduk sudah berlunjur
air dicincang takkan putus
ikhtiar menjalani, untung menyudahi.
nak ke mana gunung disasar
hilang kabut nampaklah ia....