Rabu, 23 Disember 2009

Akhirnya....

Akhirnya....
Umpama jalan dah sampai ke batas
Umpama berkayuh dah tiba ke pulau
Umpama memanjat dah sampai ke pucuk
Yang ruas dah sampai ke buku
Yang kitab sudah khatam
Yang terniat sudah terkabul
Yang diminta sudah dapat

Alhamdulillah, akhirnya saya kembali ke Jabatan Pengajian Melayu. Terima kasih kepada semua khususnya Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Puan Hajah Amanah Mohd Nor. Harapan saya, kita satu jabatan akan sentiasa bersatu hati, sentiasa memperbaharui azam meneguhkan tekad, untuk sama-sama memperteguhkan JPM. Saya akan mula belajar mengenali semua dan harap hubungan kita ada canda dan kuntum senyum, yang koyak kita tampal, yang sempit kita lapangkan dan yang berbelok kita luruskan. Janganlah segan memberi tunjuk ajar dan kalau salah ditunjuk ajar.

Kepada Ketua Unit, Dr. Khairuddin, terima kasih banyak kerana menyediakan blog ini untuk saya.

Itulah ucap saya
Itulah isi hati saya
Tak bermanis-manis di bibir
Terkena kata orang tua-tua
Yang baharu berubah-ubah
Yang hidup banyak olah
Yang manusia mengandung salah
Mengandung cacat dengan cela
Mengandung silap dengan lupa
Jadi
Saya mohon ampun dan maaf
Disusun jari nan sepuluh
Percayalah
kakiku kejap berpijak di sini.
Sekian terima kasih.

Selamat datang ...