Isnin, 25 Januari 2010

Terima Kasih

Terima kasih buat En. Azmi yang telah menaja makan tengah hari selepas mesyuarat JPM pada 25 Januari. Tak pernah rasa nasi beriani sesedap itu. Memang enak. Mungkin aura orang yang belanja. Moga murah rezeki, dipermudahkan segala urusan, dan bahagia selalu hendaknya. Ada rezeki kongsi-kongsilah lagi...

Khamis, 14 Januari 2010

Selamat Hari Keputeraan

Rabu, 13 Januari 2010

Azam itu Bersendi Akal berpangkal Agama

2010 telah 15 hari melabuhkan tirainya. Terlalu cepat masa berlalu. Ini bermakna telah 15 hari saya berada di Jabatan Pengajian Melayu yang penuh ceria, pasti duka terubat dengan gurau senda, usik mengusik taulan JPM. Untuk mempersiapkan diri ke arah azam tahun baru seharusnya diberikan perhatian kepada pembangunan "Minda Kelas Pertama". Walaupun suaranya telah lama, namun misinya belum direalisasikan ke tahap optimum. Pembangunan modal insan bermutu tinggi merupakan keperluan yang dahulunya mungkin hanya dianggap sebagai suatu kemewahan terutama dalam bidang pendidikan hari ini.

Saya berharap dapat bersama-sama sahabat JPM mengatur strategi ke arah penguasaan ilmu pengetahuan, mempersiapkan diri dengan memiliki kemantapan informasi serta kemahiran. Budaya membaca, sumbangan ilmu, teknologi maklumat dan prointelektual merupakan budaya yang sangat menyumbang ke arah strategi ini. Saya tertarik dengan kata-kata seorang penceramah ketika menghadiri kursus kecemerlangan diri tahun lepas yang antara lain katanya,

Orang yang berfikiran besar, akan bercakap tentang ilmu
Orang yang berfikiran sederhana, akan bercakap tentang peristiwa
Orang yang berfikiran rendah, akan bercakap tentang orang lain
Orang yang berfikiran cetek, akan bercakap tentang diri sendiri.

Saya bangga kini berada bersama-sama sahabat di JPM kerana dengan kesungguhan pensyarah-pensyarahnya yang diterajui oleh Ketua Jabatan Puan Hjh Amanah bt Mohd Noor dan Ketua Unit, Dr. Khairuddin b. Mohammad telah meletakkan JPM di barisan hadapan. Sekalung TAHNIAH buat kalian.

Apapun, saya berpandangan "Minda Kelas Pertama" perlu digilap dengan asas ke Islaman yang menggalakkan peningkatan terhadap kemajuan dan pembangunan untuk meneruskan kualiti hidup. Saya dapat rasakan budi bahasa, hidup dan hangat dengan nilai murni dalam perhubungan harian di JPM. Namun, tidak dinamakan kehidupan, jika tidak ada kekusutan, tidak dinamakan kematangan, jika tidak ada kekalutan, bulat air kerna pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Justeru, yang dikata benar itulah yang diperbuat dan taqwa itu tetap setia memandu pena menyurat.

Akhir kalam, untuk melarik minda kelas pertama, sama-samalah kita membina tamadun ilmu yang unggul. Berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang mempunyai segala formula terbaik ummah minda kelas pertama. Pastinya......

Hidup dikandung tanah
yang nyata binatang tahan palu
manusia tahan kias
walau ada kilat dalam kilau
bukanlah ibarat bergantung tidak bertali
bersalai tiada berapi
belum duduk sudah berlunjur
air dicincang takkan putus
ikhtiar menjalani, untung menyudahi.
nak ke mana gunung disasar
hilang kabut nampaklah ia....