Ahad, 22 Mei 2011

Gema Puisi Suara Kemanusiaan

Satu pengalaman manis dapat membaca puisi bersama karyawan seni Negeri Sembilan. Banyak yang kutimba. Sesungguhnya mereka aktivis seni yang hebat. Roslan Madun dengan seloka dan gurindam kemanusiaannya. Amat menyentuh kalbu. Roslee Mansor hebat dengan Siti Nor Merdeka. Aku berkesempatan membacakan puisi yang kunukil sendiri. Terima kasih pada Pak Tam yang sudi membantu membaca dan memurnikannya.


SEBUAH KEHIDUPAN

Kemarau panjang
Tiba-tiba hujan mencurah
Itulah kekuasaan Allah
Kepada seluruh kehidupan sementara ini
Malam kian sunyi
Tanpa sapaan unggas malam
Kau akan lihat masa membukakan sisip pintu-Nya
Terlihat betapa indahnya kedamaian
Terlihat betapa ketenangan bersinar gemilang
Sayap kasih memercik menyentuh urat nadiku

Wang, keringat, masa dan fikir
Hanya dambaan untuk satu kehidupan
Jiwa kita perkasa
Jiwa kita suci
Setiap langkah untuk anak bangsa
Berdaulat dan merdeka

Hari ini
Keluh di birai teluk
Kita tidak pantas lagi meneruskan nafas kedamaian ini
Kita tidak pantas lagi mengembangkan kuntum kasih ini
Kita tidak pantas lagi merenjis madu kemanusiaan
Kerana ada api yang marak diam merentung sekam
Kerana ada cinta masih bebas tanpa menghalang gerak
Kerana ada cinta terus meracik licik dalam lipatan
Kerana ada cinta menusuk serat daging kita

Setelah sekian lama kita menyusun dan mewarna
Bangsa berdaulat bangsa bertamadun
Negara yang kujunjung berdiri megah
Tetapi sayang seribu kali sayang  
Yang kenal kata tetapi lupa maknanya
Yang kenal angka tetapi lupa nilainya
Yang kenal bunyi tetapi lupa nadanya
Yang kenal lagu tetapi lupa iramanya
Yang kenal akhir tetapi lupa awalnya
Yang cerah mata tetapi gelap hatinya
Yang cerdik minda tetapi dungu peribadi
Yang cantik bahasa tetapi buruk tingkah
Yang lembut budi tetapi hina lagaknya
Yang merdu suara tetapi pincang tarinya
  
Takutlah anak bangsaku
Takutlah pada seruling Israfil
Takutlah pada sentakan Izrail
Takutlah pada cemeti Mungkar dan Nakir
Takutlah anak bangsaku

Sujudlah
Basahkan bibirmu dengan zikrullah
Sasarkan renunganmu ke Qiblat Allah
Luruhkan dedaun dosa
Bajai pepohon pahala
Marilah kita renjis mawar 
Jangan pernah lupa
Jadilah bangsa yang bijaksana
Yang tahu usulmu dan akhirmu…

Sabtu, 21 Mei 2011

SMKAP dalam Kenangan

Tahun 1996 – mula menjejak kaki ke SMKA Pedas membuat hati rasa sayu, bahagia dan syukor kepada Allah telah memakbulkan doaku. Alhamdulillah, aku berjaya juga ditempatkan di sekolah agama yang aku impikan selama ini. Inilah sekolah pertamaku selepas tamat pengajian ijazah pertama. Takut pun ada, suka apatah lagi, kerana pelajar-pelajarnya bijak-bijak dan pandai-pandai belaka. Maklumlah dulunya aku mengajar di sekolah rendah. Dah masuk sekolah menengah lain pula murid yang dihadap. Semua sudah dewasa. Awal pengajaranku, aku masih menganggap mereka seperti anak-anak kecil yang perlu diusap dan dimanja. Aku mula belajar mendekati mereka setelah aku tahu kelemahan diri. Banyak buku yang kubaca untuk memperbaiki diri sebagai guru kepada pelajar-pelajar remaja yang pelbagai karenah.
Pada awalnya, pengetua Puan Khuzaimah telah memberikan tanggung jawab kepadaku untuk mengajar Tingkatan Satu. Aku terima dengan tangan terbuka. Seronok. Pelajar-pelajar pun nampak seronok dengan cara aku mengajar. Aku mengikut mereka hingga ke tingkatan tiga. Aku bangga dengan keputusan peperiksaan pelajar-pelajarku. Mereka berjaya dengan cemerlang. Inilah kejayaan dan pulangan yangku dapat. Tidak ada tukar gantinya kecuali berkongsi kegembiraan dengan mereka. Setiap tahun pada tarikh 16 Mei, mejaku dipenuhi dengan pelbagai cenderahati tanda kasih pelajar-pelajarku kepadaku. Tersentuh membaca nukilan mereka yang masih kusimpan hingga ke hari ini.
Tahun 1999, aku diberi kepercayaan untuk mengajar tingkatan 4 dan 5 pula. Ah, pelajar-pelajarnya lagi lain. Ketika mengajar aku rasakan seperti bercakap dengan dinding, dengan kerusi, dengan meja atau entah dengan pepatung manusia. Mereka tak berdetik. Kalau jarum jatuh pasti dapat didengari. Sekali lagi aku menghadapi masalah. Mulalah aku mencari buku, membaca pelbagai kaedah yang sesuai untuk mereka. Berbincang dengan rakan-rakan. Aku dapat formulanya. Namun tak banyak perubahan. Entahlah. Mungkin mereka ni duduk di sekolah agama. Aku sering juga didatangi pelajar-pelajarku bercerita tentang masalah mereka. Aku bangga kerana mereka memilih aku untuk bercerita. Aku dengar dan sering berkongsi cerita suka duka dengan mereka.
Paling tak boleh kulupakan ialah ketika pelajar-pelajarku hendak menduduki peperiksaan. Mulalah mereka mencari aku untuk bersalaman dan memohon maaf. Padaku tak semudah itu untuk memohon maaf. Aku katakan  pada mereka, kalau hendak memohon maaf mesti nyatakan kesalahan dan kesilapan. Berkata benar memang pahit dan sukar. Aku tak mahu mereka hipokrit. Hamka ada mengatakan, orang yang sengaja menyorokkan kebenaran adalah orang yang lemah. Akhirnya mereka terpaksa menyatakan kebenaran sebelum bersalaman dan memohon maaf. Ada yang mengambil masa sehingga seminggu untuk menyatakan kesilapan masing-masing. Banyak yangku dapat. Banyak juga yang kubelajar. Terima kasih anak-anak didikku. Mereka berjaya kini. Berkat keikhlasan dan keberkatan. Airmataku pasti gugur tanpa dapatku tahan setiap kali mereka akan meninggalkan sekolah setelah tamat tingkatan lima. Entah bila dapat ketemu kembali.
Aku mula mengenal kelebihan dan kekurangan diri. Mungkin juga aku tergolong dalam peaceful phlegmatic. Suka berterus terang, agak luwes dan mahir dalam perhubungan. Bahkan tidak keterlaluan, mengenali diri sendiri jauh lebih penting daripada mengenal orang lain dalam usaha mewujudkan suatu perhubungan yang harmoni. Di SMKAP, barulah aku mendapat sedikit pencerahan dan panduan dalam diri sendiri. Itulah yang dikatakan, ilmu yang didapati daripada mujahadah lebih mendalam daripada apa yang kita dapat daripada mentelaah. Membaca buku hanya mengutip data, fakta, dalil dan bukti tetapi membaca kehidupan barulah tersingkap segala rasa, makna dan getaran untuk bermuhasabah dan membuat pembetulan.
Tahun 2000, aku berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat kedoktoran. Saat ini, paling sukar untuk aku lalui. Ketika itu, aku mengajar Bahasa Melayu di tingkatan lima. Saat aku meninggalkan mereka, ramai yang menitiskan airmata, termasuk pelajar lelaki. Pastinya aku juga tidak kuat menghadapi situasi ini. Julai 2000, aku tinggalkan mereka. Tak sempat untuk hantar mereka ke dewan peperiksaan. Namun aku tinggalkan wasiat agar mereka menjadi insan yang cemerlang. Aku ingatkan mereka seperti ibu mengingatkan anak-anaknya. Ah..payah rupanya. Aku katakan bahawa aku akan sentiasa mendoakan kejayaan mereka. Berkat doa kalian jugalah, aku berjaya berada di tahap ini. Aku berjaya menamatkan pengajianku dalam tempoh masa yang diberikan. Terima kasih. Doa kalian yang tak putus membuatkan cikgu juga berjaya seperti kalian.
Hari ini, aku bahagia kerana setiap tibanya Hari Raya, mereka, anak-anak didikku pasti mengujungiku. Kadangkala tak menang tangan melayan mereka. Mereka semuanya sudah berjaya dalam kehidupan. Betapa bangganya cikgu melihat kamu. Jangan lupa, doakanlah agar cikgu sentiasa sihat dan bahagia sepertimana cikgu sentiasa mendoakan kebahagiaan kalian.
Menjadi guru
Tak semudah yang disangka
Bermandi keringat
Menabur bakti
Tanpa mau dipeduli

Menjadi guru
Bukan untuk dipuja
Bukan juga untuk didewakan
Tetapi adalah perjuangan
Rela meluahkan bahagia
Menelan duka nestapa
Berkongsi bahagia dan duka

Betullah kata Usman
Guru adalah pemberi paling setia
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang guru mampu membakar diri
Jika hari ini seorang guru mampu memberi inspirasi
Jika hari ini seorang guru mampu mengharungi pahit getir
Jika hari ini seorang guru mampu mencabar minda didiknya
Jika hari ini seorang guru mampu melakar jiwa yang mentah
Jika hari ini seorang guru mampu meniti kehidupan di hujung dunia

Kaulah insan yang teristimewa
Mewakili seribu buku
Menjadi pelita dan lampu segala
Untuk manusia tanpa mengira bangsa.