Rabu, 10 Februari 2010

Selamat Hari Lahir

Selamat Hari Lahir Manis,
hendaknya kebahagiaan sentiasa mengiringi perjalanan hidupmu...
hendaknya senyuman sentiasa menghiasi bibirmu...
hendaknya mimpi indah sentiasa mengulit tidurmu...
semoga kau tabah dalam apa jua dugaan dan cabaran yg tiba...
selamat hari lahir.
ikhlas dariku untukmu....

Selasa, 9 Februari 2010

Tak Mengapa (buat teman yang kehilangan)

Tidak mengapa
Jika kau kehilangan
tak memperoleh semula
kau tidak akan papa

Jika kau merasa kecewa
Itu tidak wajar
kerana kehilangan yang sebenar
ialah kehilangan iman dan pegangan
wajar kau tangisi
wajar kau kesali
kerana kehilangan ini
tidak ada pengganti

Tidak mengapa
kehilangan sementara
penuh hikmah
tanda kau disayangi!

Jumaat, 5 Februari 2010

Tak sangka selisih kereta jenazah rakan maut nahas

Tak sangka pada jam 12 tengah hari hari Jumaat (5 Februari) ketika perjalanan pulang dari tempat kerja, saya selisih dengan kereta jenazah yang diiringi oleh ramai Pegawai Polis bermotosikal. Saya menyisir ke tepi untuk beri laluan. Mulut tetap mengucapkan Innalillah Wainnaillaihirajiuun, insan ini bertuah kerana dijemput pada hari yang mulia, hari Jumaat. Yang mengiringi jenazah, ramai rupanya. Hati berkata, mesti orang besar. 

Berita TV 3 tengah hari mengejutkan saya, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan II), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Hazam Abd. Halim maut nahas jalan raya. Mulalah kenangan mengimbau kembali. Saya bertanya pada diri saya adakah mangsa nahas, rakan saya ketika bersekolah dahulu. Melihat gambarnya, sah. Mohd Hazam ialah rakan ketika berada di Tingkatan 6. Kumpulan kami sama-sama naik bas ke sekolah. Saya dari Bahau dan arwah serta rakan-rakannya dari Batu Kikir.

Arwah seorang yang pendiam, tak banyak bercakap dan baik hati. Boleh dikatakan arwahlah pelajar cemerlang dalam kelas kami. Rasanya baru sangat saya bertemu dengan YB Datuk Syamsul Kahar (kira-kira 3 bulan lepas di Hospital KPJ. Ketika itu YB Datuk sedang mengiringi ibunya yang sakit dan saya menghantar ayah) yang ada menyebut bahawa beliau bangga sangat, rakan-rakannya semua dah berjaya. Dari beliaulah saya tahu arwah memegang jawatan tinggi dalam PDRM. Walaupun lama tak berjumpa, YB Datuk masih mengenali saya. Datuk banyak bercerita tentang teman-teman sekelas yang hampir semua telah berjaya memegang jawatan tinggi dalam kerajaan. Terdetik juga di hati saya ketika itu, alangkah seronoknya jika kami dipertemukan semula. Sebenarnya, saya, Datuk Syamsul Kahar Mohd Deli, Datuk Mohd Hazam Halim (arwah), Ramli Osman (JPNS) ialah rakan sekelas ketika berada di tingkatan 6 di Sekolah Menengah Zaaba, Kuala Pilah. Yang lain tak dapat saya jejaki.

Allah jua Maha Berkuasa, rupanya saya hanya sempat selisih dengan kereta yang membawa jenazahnya. Moga Allah menempatkan arwah di tempat orang-orang yang soleh. Takziah kepada keluarga arwah. Memang perit, kehilangan orang yang disayangi. Apa yang mampu saya katakan, hanyalah SABAR dan REDA.... Al-Fatihah.