Sabtu, 19 Mei 2012


KAJIAN  TINDAKAN

Kajian Tindakan ialah suatu kajian yang berbentuk tindakan praktik (intervensi) yang bertujuan untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti amalan penyelidik. Penyelidik dapat mengembangkan kemahiran menyiasat pengajaran diri sendiri di samping memupuk keinginan memperbaiki pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta persekitaran kerja pendidik dan pelajar.

PROSES  KAJIAN  TINDAKAN

Kajian Tindakan melibatkan proses merancang, melaksana, memerhati dan mereflek secara sistematik.

REFLEKSI
Kajian Tindakan bermula daripada proses refleksi yang dilakukan oleh penyelidik terhadap tugas seharian mereka yang menyentuh kekuatan dan kelemahan P&P serta masalah yang dihadapi dalam melaksanakan P&P.

Apa  itu  Refleksi?
Refleksi merupakan proses mengingat kembali pengalaman yang telah dilalui, memikirkannya, mempertimbangkannya seterusnya membuat penilaian terhadap pengalaman tersebut.
Proses refleksi perlu dilakukan secara kritis dalam melihat pelbagai isu dan masalah yang timbul dalam tugas seharian. Proses refleksi boleh dilakukan secara individu ataupun berkumpulan.

a. Mengapa  perlu  Refleksi?

Refleksi  perlu  untuk  membolehkan  penyelidik:

Menilai  amalan  pengajaran  kendiri  dan  melakukan  penambahbaikan  P&P.
Meningkatkan  kualiti  diri  sebagai  penyelidik.
Menilai  kesesuaian  strategi  P&P  dan  Bahan  Bantu  Mengajar  (BBM).
Memperkasakan penyelidik untuk membuat perubahan ke arah peningkatan profesionalisme.
Menghurai  penjelasan  tentang  pelajar,  interaksi  bilik  darjah  serta  proses  P&P.

b. Bila  Refleksi  Dilakukan?
Refleksi  Peringkat  Awal
Refleksi peringkat ini dilakukan sebelum memulakan sesuatu Kajian Tindakan. Antara langkah yang boleh dijalankan:

Menjelaskan  isu,  fenomena  atau  masalah  pedagogi.
Menganalisis kefahaman kendiri terhadap isu, fenomena atau masalah pedagogi.
Menentukan  isu  atau  bidang  keperihatinan.
Mengenalpasti  tindakan  intervensi  yang  bersesuaian.
Contoh  soalan  untuk  mencetus  refleksi  pada  peringkat  awal:
Kenapa  pelajar  saya  nampak  seperti  tidak  memberi  perhatian?
Mengapa pelajar saya tidak memperolehi markah yang memuaskan dalam kuiz yang saya jalankan?
Apakah  strategi  yang  perlu  saya  gunakan?
Bagaimanakah  saya  melaksanakan  strategi  itu?

Refleksi  Peringkat  Semasa  Kajian
Refleksi  peringkat  ini  dilakukan  semasa  kajian  sedang  berlangsung  iaitu:
Membuat  keputusan  awal  terhadap  perjalanan  proses  tindakan  (intervensi).
Menerima  komen  dan  teguran  spontan.
Menilai  keberkesanan  tindakan  intervensi  yang  dijalankan.
Contoh  soalan  untuk  mencetus  refleksi  semasa  kajian:
Adakah  saya  setuju  dengan  proses  tindakan  yang  diambil?
Apakah  pandangan  saya  terhadap  tindakan  tersebut?
Adakah  strategi  yang  saya  laksanakan  berkesan?
Apakah  halangan  yang  dihadapi  semasa  menjalankan  tindakan  tersebut?

Refleksi  Peringkat  Selepas  Kajian
Refleksi  peringkat  ini  dilakukan  selepas  menjalankan  kajian  tindakan  untuk:

Menghasilkan  perubahan  dan  peningkatan  diri  guru  dan  murid.
Menilai  kesan  tindakan  yang  telah  diambil.
menentukan  rumusan  yang  boleh  dilakukan.
Merancang  tindakan  susulan.

MERANCANG

Pada peringkat ini penyelidik merancang aktiviti-aktiviti intervensi yang sesuai untuk mengatasi masalah yang telah dikenal pasti sebagai fokus kajian. Peringkat ini juga perancangan boleh dilakukan bersama-sama rakan kumpulan untuk merancang langkah-langkah intervensi yang bersepadu.

Mengenalpasti  Fokus  Masalah
Penentuan fokus kajian penting untuk memudahkan penyelidik membuat perancangan tindakan seterusnya agar tindakan yang bakal diambil berkesan untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

Perkara-perkara  yang  perlu  dipertimbangkan  untuk  menentukan  fokus  kajian:

Skop  Kajian
Kerelevanan  (relevility)
Kebolehurusan  (manageability)
Keserasian  (compatibility)

Menentukan  Objektif  Kajian

Objektif kajian merupakan tujuan yang ingin dicapai oleh penyelidik melalui kajian yang dilakukan.

Merancang  Tindakan  Intervensi

Aspek-aspek berikut perlu diberi perhatian untuk menentukan jenis tindakan intervensi yang hendak dijalankan:

Memastikan  matlamat  tindakan  intervensi  selaras  dengan  objektif  kajian.
Menentukan  tempoh  pelaksanaan  bagi  setiap  aktiviti.
Mengenalpasti  bahan-bahan  yang  diperlukan  untuk  menjalankan  aktiviti.
Menetapkan cara pemantauan dan kaedah penilaian keberkesanan tindakan intervensi yang dijalankan. cth: ujian, soal-selidik, pemerhatian, temu bual dan sebagainya.
Meletakkan penanda aras pencapaian minimum tindakan intervensi untuk mengesahkan keberkesanannya.



1 ulasan:

  1. terima kasih atas perkongsian dr..
    boleh buat ulangkaji.. :)

    BalasPadam