Jumaat, 5 Februari 2010

Tak sangka selisih kereta jenazah rakan maut nahas

Tak sangka pada jam 12 tengah hari hari Jumaat (5 Februari) ketika perjalanan pulang dari tempat kerja, saya selisih dengan kereta jenazah yang diiringi oleh ramai Pegawai Polis bermotosikal. Saya menyisir ke tepi untuk beri laluan. Mulut tetap mengucapkan Innalillah Wainnaillaihirajiuun, insan ini bertuah kerana dijemput pada hari yang mulia, hari Jumaat. Yang mengiringi jenazah, ramai rupanya. Hati berkata, mesti orang besar. 

Berita TV 3 tengah hari mengejutkan saya, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan II), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Hazam Abd. Halim maut nahas jalan raya. Mulalah kenangan mengimbau kembali. Saya bertanya pada diri saya adakah mangsa nahas, rakan saya ketika bersekolah dahulu. Melihat gambarnya, sah. Mohd Hazam ialah rakan ketika berada di Tingkatan 6. Kumpulan kami sama-sama naik bas ke sekolah. Saya dari Bahau dan arwah serta rakan-rakannya dari Batu Kikir.

Arwah seorang yang pendiam, tak banyak bercakap dan baik hati. Boleh dikatakan arwahlah pelajar cemerlang dalam kelas kami. Rasanya baru sangat saya bertemu dengan YB Datuk Syamsul Kahar (kira-kira 3 bulan lepas di Hospital KPJ. Ketika itu YB Datuk sedang mengiringi ibunya yang sakit dan saya menghantar ayah) yang ada menyebut bahawa beliau bangga sangat, rakan-rakannya semua dah berjaya. Dari beliaulah saya tahu arwah memegang jawatan tinggi dalam PDRM. Walaupun lama tak berjumpa, YB Datuk masih mengenali saya. Datuk banyak bercerita tentang teman-teman sekelas yang hampir semua telah berjaya memegang jawatan tinggi dalam kerajaan. Terdetik juga di hati saya ketika itu, alangkah seronoknya jika kami dipertemukan semula. Sebenarnya, saya, Datuk Syamsul Kahar Mohd Deli, Datuk Mohd Hazam Halim (arwah), Ramli Osman (JPNS) ialah rakan sekelas ketika berada di tingkatan 6 di Sekolah Menengah Zaaba, Kuala Pilah. Yang lain tak dapat saya jejaki.

Allah jua Maha Berkuasa, rupanya saya hanya sempat selisih dengan kereta yang membawa jenazahnya. Moga Allah menempatkan arwah di tempat orang-orang yang soleh. Takziah kepada keluarga arwah. Memang perit, kehilangan orang yang disayangi. Apa yang mampu saya katakan, hanyalah SABAR dan REDA.... Al-Fatihah.

6 ulasan:

  1. Dr, tahun berapa di sekolah menengah zaba. Saya pun dari sekolah tersebut.

    BalasPadam
  2. Tahun 1979 dan 1980 iaitu Tingkatan 6 Rendah dan 6 Atas

    BalasPadam
  3. Tahun 1979 dan tahun 1980 iaitu semasa Tingkatan 6 Rendah dan 6 Atas.

    BalasPadam
  4. Saya merupakan anak sulung arwah doktor,terima kasih😢


    BalasPadam
  5. Saya merupakan anak sulung arwah doktor,terima kasih😢


    BalasPadam
  6. Semoga Muhaimin menjadi insan yang berjaya dan anak yg soleh. Ada ruang dan masa, In syaa Allah dapat berjumpa dengan keluarga.

    BalasPadam