Sabtu, 19 Mei 2012
KAJIAN TINDAKAN
Kajian Tindakan ialah suatu kajian yang berbentuk tindakan praktik (intervensi) yang bertujuan untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti amalan penyelidik. Penyelidik dapat mengembangkan kemahiran menyiasat pengajaran diri sendiri di samping memupuk keinginan memperbaiki pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta persekitaran kerja pendidik dan pelajar.
PROSES KAJIAN TINDAKAN
Kajian Tindakan melibatkan proses merancang, melaksana, memerhati dan mereflek secara sistematik.
REFLEKSI
Kajian Tindakan bermula daripada proses refleksi yang dilakukan oleh penyelidik terhadap tugas seharian mereka yang menyentuh kekuatan dan kelemahan P&P serta masalah yang dihadapi dalam melaksanakan P&P.
Apa itu Refleksi?
Refleksi merupakan proses mengingat kembali pengalaman yang telah dilalui, memikirkannya, mempertimbangkannya seterusnya membuat penilaian terhadap pengalaman tersebut.
Proses refleksi perlu dilakukan secara kritis dalam melihat pelbagai isu dan masalah yang timbul dalam tugas seharian. Proses refleksi boleh dilakukan secara individu ataupun berkumpulan.
a. Mengapa perlu Refleksi?
Refleksi perlu untuk membolehkan penyelidik:
• Menilai amalan pengajaran kendiri dan melakukan penambahbaikan P&P.
• Meningkatkan kualiti diri sebagai penyelidik.
• Menilai kesesuaian strategi P&P dan Bahan Bantu Mengajar (BBM).
• Memperkasakan penyelidik untuk membuat perubahan ke arah peningkatan profesionalisme.
• Menghurai penjelasan tentang pelajar, interaksi bilik darjah serta proses P&P.
b. Bila Refleksi Dilakukan?
Refleksi Peringkat Awal
Refleksi peringkat ini dilakukan sebelum memulakan sesuatu Kajian Tindakan. Antara langkah yang boleh dijalankan:
• Menjelaskan isu, fenomena atau masalah pedagogi.
• Menganalisis kefahaman kendiri terhadap isu, fenomena atau masalah pedagogi.
• Menentukan isu atau bidang keperihatinan.
• Mengenalpasti tindakan intervensi yang bersesuaian.
• Contoh soalan untuk mencetus refleksi pada peringkat awal:
• Kenapa pelajar saya nampak seperti tidak memberi perhatian?
• Mengapa pelajar saya tidak memperolehi markah yang memuaskan dalam kuiz yang saya jalankan?
• Apakah strategi yang perlu saya gunakan?
• Bagaimanakah saya melaksanakan strategi itu?
Refleksi Peringkat Semasa Kajian
• Refleksi peringkat ini dilakukan semasa kajian sedang berlangsung iaitu:
• Membuat keputusan awal terhadap perjalanan proses tindakan (intervensi).
• Menerima komen dan teguran spontan.
• Menilai keberkesanan tindakan intervensi yang dijalankan.
Contoh soalan untuk mencetus refleksi semasa kajian:
• Adakah saya setuju dengan proses tindakan yang diambil?
• Apakah pandangan saya terhadap tindakan tersebut?
• Adakah strategi yang saya laksanakan berkesan?
• Apakah halangan yang dihadapi semasa menjalankan tindakan tersebut?
Refleksi Peringkat Selepas Kajian
Refleksi peringkat ini dilakukan selepas menjalankan kajian tindakan untuk:
• Menghasilkan perubahan dan peningkatan diri guru dan murid.
• Menilai kesan tindakan yang telah diambil.
• menentukan rumusan yang boleh dilakukan.
• Merancang tindakan susulan.
MERANCANG
Pada peringkat ini penyelidik merancang aktiviti-aktiviti intervensi yang sesuai untuk mengatasi masalah yang telah dikenal pasti sebagai fokus kajian. Peringkat ini juga perancangan boleh dilakukan bersama-sama rakan kumpulan untuk merancang langkah-langkah intervensi yang bersepadu.
Mengenalpasti Fokus Masalah
Penentuan fokus kajian penting untuk memudahkan penyelidik membuat perancangan tindakan seterusnya agar tindakan yang bakal diambil berkesan untuk mengatasi masalah yang dihadapi.
Perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan untuk menentukan fokus kajian:
• Skop Kajian
• Kerelevanan (relevility)
• Kebolehurusan (manageability)
• Keserasian (compatibility)
Menentukan Objektif Kajian
Objektif kajian merupakan tujuan yang ingin dicapai oleh penyelidik melalui kajian yang dilakukan.
Merancang Tindakan Intervensi
Aspek-aspek berikut perlu diberi perhatian untuk menentukan jenis tindakan intervensi yang hendak dijalankan:
• Memastikan matlamat tindakan intervensi selaras dengan objektif kajian.
• Menentukan tempoh pelaksanaan bagi setiap aktiviti.
• Mengenalpasti bahan-bahan yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti.
• Menetapkan cara pemantauan dan kaedah penilaian keberkesanan tindakan intervensi yang dijalankan. cth: ujian, soal-selidik, pemerhatian, temu bual dan sebagainya.
• Meletakkan penanda aras pencapaian minimum tindakan intervensi untuk mengesahkan keberkesanannya.
Langgan:
Catatan (Atom)