Ahad, 16 Jun 2013

Definisi Pentaksiran, Pengujian dan Penilaian

PENTAKSIRAN

Definisi

Pentaksiran merupakan satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman serta pertimbangan tentang produk sesuatu proses pendidikan. Pentaksiran merupakan satu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang pembelajaran seseorang pelajar bagi sesuatu tujuan (LPM, 2000). Pentaksiran juga merupakan satu proses untuk mendapatkan gambaran tentang prestasi pembelajaran seseorang pelajar dalam sesuatu subjek atau aktiviti pembelajaran. Aktiviti pentaksiran dijalankan secara berterusan.

Tujuan Pentaksiran

· Proses mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran· Menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran· Mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran memperbaiki pengajaran-pembelajaran.· Merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan murid.· Melibatkan semua atau sebahagian besar murid dalam kelas secara efektif.· Merancang dan melaksanakan aktiviti tindak susul yang berkesan.· Memperbaiki pengajaran dan pembelajaran

Aspek-aspek utama dalam pentaksiran


  • instrumen
  • kumpulan yang ditaksir
  • respon
  • kumpulan pentaksir
  • skor
PENGUJIAN

Definisi

Pengujian merupakan satu proses/prosedur yang sistematik bagi mengukur pencapaian pelajar yang biasanya dibuat secara bertulis. Tujuan pengujian ialah untuk menentukan pencapaian pelajar dalam sesuatu sesi pembelajaran.  Pengujian dapat dianggap sebagai proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar.

Menurut Cronbach (1970)“Ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan batuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori”.

Menurut Robert Mills Gagne, pengujian ialah satu cara yang sistematik untuk mengukur perubahan tingkah laku individu. Pengukuran ini merupakan suatu proses bagi guru untuk menentukan perubahan dan membuat pertimbangan nilai. Melalui pengujian, seseorang guru akan mudah untuk mengetahui tentang pencapaian objek, kaedah mengajar dan keberkesanan sesebuah kurikulum.

Contoh skala bernombor ialah angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100/120 untuk ujian kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula ialah “ekstrovert” atau “introvert” bagi ujian personaliti, atau “rabun warna” bagi ujian penglihatan. Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros 1981, (dipetik dari Raminah, 1991) yang menegaskan bahawa:

“Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contoh perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan”.(Raminah 1991:2).

Hasil daripada pemarkahan jawapan pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai “markah” akan diberikan kepada pelajar tersebut. Pengujian menjelaskan tahap berapa baiknya prestasi pelajar yang diuji.

Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan/ pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui pengujian inilah seseorang guru mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai pengetahuan, kemahiran atau sikap yang ingin disampaikan guru. 

Kesimpulannya, pengesanan hasil pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat melalui pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat, yang dilaksanakan oleh guru dalam bilik darjah. Justeru, kecekapan guru membangunkan alat pengujian amat penting, malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

PENILAIAN

DefinisiPenilaian merupakan satu proses untuk menghasilkan nilai kuantitatif untuk menentukan peringkat pencapaian dan kedudukan dalam pembelajaran. Penilaian merangkumi aspek pengujian dan pengukuran. Penilaian juga dapat didefinisikan sebagai satu proses/prosedur yang sistematik bagi membuat pertimbangan dalam mentafsir hasil pengukuran, yang bertujuan untuk memberi maklumat tentang pencapaian akademik, kemahiran atau sikap.

Diagnosis
Penilaian yang dijalankan oleh guru dalam bilik darjah akan dapat memberikan maklum balas kepada guru tentang tahap penguasaan pelajar terhadap pengetahuan dan kemahiran yang telah diajar. Selain itu, penilaian ini juga dapat memberi maklum balas tentang masalah yang dihadapi pelajar dalam pembelajaran. Dengan itu, guru dapat mengenal pasti kemajuan seseorang pelajar, sama ada pada tahap yang sangat memuaskan, memuaskan, sederhana,lemah atau tidak ada sebarang kemajuan langsung. Daripada penilaian yang dijalankan juga, guru dapat mengenal pasti pelajar yang cepat/cergas, yang memerlukan aktiviti pengayaan dan pelajar yang lemah yang memerlukan aktiviti pemulihan. Guru juga perlu membuat keputusan sama ada untuk mengubah strategi pengajaran, supaya pengajaran dan pembelajaran bersesuaian dengan keperluan pelajar. 

Penilaian yang dijalankan sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran akan memperlihatkan kemajuan pelajar dalam jangka masa tertentu. Pengesanan kemajuan pelajar secara berterusan ini akan memberi maklum balas kepada guru tentang masalah yang dihadapi pelajar.  Sekiranya pelajar menghadapi masalah dalam pembelajaran, guru akan menyelidik punca masalah tersebut. Maklumat berkenaan akan digunakan oleh guru untuk mengubah pendekatan pengajaran atau menyediakan latihan yang khusus supaya masalah yang dihadapi pelajar dapat diatasi. Tanpa bantuan khas ini, pelajar-pelajar akan terus menghadapi masalah dan akibatnya mereka akan terus ketinggalan dalam pembelajaran.

PencapaianPenilaian yang dijalankan pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran dapat memberikan maklumat tentang tahap penguasaan para pelajar terhadap pengetahuan, kemahiran dan sikap yang ingin disampaikan guru. Selain itu, penilaian yang dijalankan pada akhir tempoh pengajian; misalnya pada akhir Tahun 6 (UPSR), Tingkatan 3 (PMR) dan Tingkatan 5 (SPM); adalah bertujuan untuk menentukan gred pencapaian para pelajar secara keseluruhan. Penilaian pada peringkat ini lebih bercorak formal dengan tujuan akhirnya untuk memberi sijil kepada pelajar.Hasil penilaian ini akan menunjukkan pencapaian akademik pelajar mengikut gred yang diberikan, seperti cemerlang, sederhana atau gagal. Pihak sekolah akan dapat menentukan keupayaan keseluruhan seseorang pelajar berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diduduki untuk tindakan selanjutnya, seperti pemilihan dan penempatan.

Pemilihan dan PenempatanPenilaian adalah penting sebelum pengajaran dan pembelajaran bermula kerana guru perlu meninjau sejauh manakah pelajar-pelajarnya menguasai pengetahuan dan kemahiran asas kepada tajuk yang hendak diajar. Misalnya, seseorang guru Bahasa Melayu yang akan mengajar pelajar bukan penutur asli bahasa Melayu, perlu mengetahui aspek pengetahuan dan kemahiran manakah yang telah mereka kuasai, seperti tatabahasa, perbendaharaan kata dan sebagainya. Maklumat ini penting untuk guru membuat keputusan dalam menentukan peringkat yang bersesuaian untuk memulakan pengajaran.

Selain itu, guru juga dapat memilih pelajar untuk dikelompokkan dalam sesuatu kumpulan berasaskan tahap penguasaan mereka. Sekiranya penguasaan mereka berbeza, guru perlu menempatkan mereka mengikut tahap penguasaan masing-masing dan seterusnya merancang dan melaksanakan pengajaran mengikut keperluan mereka yang berbeza-beza itu. Dalam keadaan ini, tujuan penilaian ialah untuk memilih dan menempatkan pelajar mengikut penguasaan pengetahuan dan kemahiran mereka.

Selain memulakan sesi pengajaran, tujuan penilaian juga adalah untuk memilih dan menempatkan pelajar mengikut aliran tertentu. Misalnya, keputusan pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran sains memungkinkan ditempatkan dalam aliran sains atau mengikut kecenderungan seseorang murid berkenaan.

Bimbingan dan kaunselingPenilaian juga dapat digunakan untuk tujuan bimbingan dan kaunseling kepada pelajar yang memerlukannya. Setiap pelajar sepatutnya mempunyai motivasi untuk belajar dan ia mungkin bersifat intrinsik/dalaman, iaitu motivasi daripada dalam diri pelajar itu sendiri. Contohnya, mereka yang belajar disebabkan ingin mengetahui sesuatu dengan mendalam, akan memperoleh pencapaian yang baik dan seterusnya akan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Selain motivasi yang bersifat intrinsik ini, terdapat pula motivasi yang bersifat ekstrinsik/luaran, iaitu motivasi daripada luar, seperti dorongan daripada ibu bapa/rakan sebaya atau nasihat daripada guru/guru besar.

Tujuan lain Penilaian Ujian1. Membantu guru mengetahui keupayaan penguasaan pelajar.2. Membantu guru dalam membuat perbandingan antara seseorang pelajar dengan rakan-rakannya atau antara kelas tersebut dengan kelas yang lain.3. Membuat perbandingan pencapaian pelajar dalam subjek tersebut dengan pencapaian dalam subjek lain.4. Menentukan pelajar yang tinggi keupayaannya dan yang amat lemah keupayaannya dan lemah pencapaiannya5. Membantu guru dalam menentukan pengayaan dan pemulihan bagi pelajar yang berkenaan.6. Membantu guru dalam membuat jangkaan terhadap potensi atau bakat pelajar terhadap pembelajaran.7. Membolehkan guru menilai bahan-bahan dan teknik serta kaedah pengajaran mereka.8. Melalui ujian penilaian yang dilakukan guru dapat berusaha meningkatkan keberkesanan pengajaran mereka.9. Pelajar berpeluang mengetahui kelemahan dalam sesuatu kemahiran atau bidang dan segera memperbaikinya.

Latihan Amali Minggu 1

Apakah perbezaan pengujian, pentaksiran dan penilaian dari segi kegunaan, bentuk dan proses. Berikan contoh yang sesuai. Gunakan Peta Pemikiran i-THINK.
›Anda dikehendaki me›nyediakan laman web pembelajaran dan menyangkutkan kerja mingguan di laman web pembelajaran masing-masing pada setiap minggu.

›Anda boleh menyangkutkan power point, peta pemikiran  atau brosur ke laman web pembelajaran masing-masing.



Sabtu, 19 Mei 2012


KAJIAN  TINDAKAN

Kajian Tindakan ialah suatu kajian yang berbentuk tindakan praktik (intervensi) yang bertujuan untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti amalan penyelidik. Penyelidik dapat mengembangkan kemahiran menyiasat pengajaran diri sendiri di samping memupuk keinginan memperbaiki pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta persekitaran kerja pendidik dan pelajar.

PROSES  KAJIAN  TINDAKAN

Kajian Tindakan melibatkan proses merancang, melaksana, memerhati dan mereflek secara sistematik.

REFLEKSI
Kajian Tindakan bermula daripada proses refleksi yang dilakukan oleh penyelidik terhadap tugas seharian mereka yang menyentuh kekuatan dan kelemahan P&P serta masalah yang dihadapi dalam melaksanakan P&P.

Apa  itu  Refleksi?
Refleksi merupakan proses mengingat kembali pengalaman yang telah dilalui, memikirkannya, mempertimbangkannya seterusnya membuat penilaian terhadap pengalaman tersebut.
Proses refleksi perlu dilakukan secara kritis dalam melihat pelbagai isu dan masalah yang timbul dalam tugas seharian. Proses refleksi boleh dilakukan secara individu ataupun berkumpulan.

a. Mengapa  perlu  Refleksi?

Refleksi  perlu  untuk  membolehkan  penyelidik:

• Menilai  amalan  pengajaran  kendiri  dan  melakukan  penambahbaikan  P&P.
• Meningkatkan  kualiti  diri  sebagai  penyelidik.
• Menilai  kesesuaian  strategi  P&P  dan  Bahan  Bantu  Mengajar  (BBM).
• Memperkasakan penyelidik untuk membuat perubahan ke arah peningkatan profesionalisme.
• Menghurai  penjelasan  tentang  pelajar,  interaksi  bilik  darjah  serta  proses  P&P.

b. Bila  Refleksi  Dilakukan?
Refleksi  Peringkat  Awal
Refleksi peringkat ini dilakukan sebelum memulakan sesuatu Kajian Tindakan. Antara langkah yang boleh dijalankan:

• Menjelaskan  isu,  fenomena  atau  masalah  pedagogi.
• Menganalisis kefahaman kendiri terhadap isu, fenomena atau masalah pedagogi.
• Menentukan  isu  atau  bidang  keperihatinan.
• Mengenalpasti  tindakan  intervensi  yang  bersesuaian.
• Contoh  soalan  untuk  mencetus  refleksi  pada  peringkat  awal:
• Kenapa  pelajar  saya  nampak  seperti  tidak  memberi  perhatian?
• Mengapa pelajar saya tidak memperolehi markah yang memuaskan dalam kuiz yang saya jalankan?
• Apakah  strategi  yang  perlu  saya  gunakan?
• Bagaimanakah  saya  melaksanakan  strategi  itu?

Refleksi  Peringkat  Semasa  Kajian
• Refleksi  peringkat  ini  dilakukan  semasa  kajian  sedang  berlangsung  iaitu:
• Membuat  keputusan  awal  terhadap  perjalanan  proses  tindakan  (intervensi).
• Menerima  komen  dan  teguran  spontan.
• Menilai  keberkesanan  tindakan  intervensi  yang  dijalankan.
Contoh  soalan  untuk  mencetus  refleksi  semasa  kajian:
• Adakah  saya  setuju  dengan  proses  tindakan  yang  diambil?
• Apakah  pandangan  saya  terhadap  tindakan  tersebut?
• Adakah  strategi  yang  saya  laksanakan  berkesan?
• Apakah  halangan  yang  dihadapi  semasa  menjalankan  tindakan  tersebut?

Refleksi  Peringkat  Selepas  Kajian
Refleksi  peringkat  ini  dilakukan  selepas  menjalankan  kajian  tindakan  untuk:

• Menghasilkan  perubahan  dan  peningkatan  diri  guru  dan  murid.
• Menilai  kesan  tindakan  yang  telah  diambil.
• menentukan  rumusan  yang  boleh  dilakukan.
• Merancang  tindakan  susulan.

MERANCANG

Pada peringkat ini penyelidik merancang aktiviti-aktiviti intervensi yang sesuai untuk mengatasi masalah yang telah dikenal pasti sebagai fokus kajian. Peringkat ini juga perancangan boleh dilakukan bersama-sama rakan kumpulan untuk merancang langkah-langkah intervensi yang bersepadu.

Mengenalpasti  Fokus  Masalah
Penentuan fokus kajian penting untuk memudahkan penyelidik membuat perancangan tindakan seterusnya agar tindakan yang bakal diambil berkesan untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

Perkara-perkara  yang  perlu  dipertimbangkan  untuk  menentukan  fokus  kajian:

• Skop  Kajian
• Kerelevanan  (relevility)
• Kebolehurusan  (manageability)
• Keserasian  (compatibility)

Menentukan  Objektif  Kajian

Objektif kajian merupakan tujuan yang ingin dicapai oleh penyelidik melalui kajian yang dilakukan.

Merancang  Tindakan  Intervensi

Aspek-aspek berikut perlu diberi perhatian untuk menentukan jenis tindakan intervensi yang hendak dijalankan:

• Memastikan  matlamat  tindakan  intervensi  selaras  dengan  objektif  kajian.
• Menentukan  tempoh  pelaksanaan  bagi  setiap  aktiviti.
• Mengenalpasti  bahan-bahan  yang  diperlukan  untuk  menjalankan  aktiviti.
• Menetapkan cara pemantauan dan kaedah penilaian keberkesanan tindakan intervensi yang dijalankan. cth: ujian, soal-selidik, pemerhatian, temu bual dan sebagainya.
• Meletakkan penanda aras pencapaian minimum tindakan intervensi untuk mengesahkan keberkesanannya.



Ahad, 19 Februari 2012

Tajuk Pembentangan Kumpulan (GSTT)

Kemahiran Berbahasa Bacaan dan Kefahaman

  • Definisi
  • Teknik membaca
  • Strategi melaksanakan kemahiran membaca menggunakan salah satu teknik yang dikemukakan.

Selasa, 14 Februari 2012

 Komunikasi

Komunikasi ialah proses yang bermula apabila sesuatu mesej (maklumat) daripada penyampai kemudian dipindahkan menerusi alat atau saluran khas kepada penerima yang kemudiannya memberi maklum balas (mengekod dan mentafsir)  terhadap mesej tersebut yang mengembalikan isyarat dalam bentuk sama ada mesej tersebut difahami atau tidak difahami (Sulaiman Md Yassin, et.all, 2002)

Komunikasi khalayak pula merujuk kepada proses komunikasi yang tersebar kepada kumpulan sasar yang tertentu. Dalam konteks komunikasi khalayak atau komunikasi awam, penerima sesuatu mesej itu dikenali sebagai khalayak kerana penerima utusan terdiri daripada jumlah individu yang ramai. Walaupun begitu, tidak semua penerima dianggap sebagai khalayak.

Konsep

·      Penyampai : Individu atau sesuatu yang menjadi punca sesuatu komunikasi itu bermula. 

·      Khalayak : Khalayak terdiri daripada individu yang memilih untuk mendedahkan diri mereka kepada sesuatu utusan yang disampaikan oleh sesuatu sumber komunikasi.

·   Mesej: Mesej merupakan sesuatu yang ingin disampaikan dalam bentuk perasaan, fikiran, pendapat atau fakta.

KONSEP KOMUNIKASI KHALAYAK

Sebelum kita cuba mempengaruhi khalayak, malah sebelum kita mula berucap, kita patut memastikan bahawa khalayak sudah bersedia mendengar atau menerima perkara yang hendak kita sampaikan dan mereka berupaya memahaminya. Oleh itu, para komunikator patut terus menganalisis khalayak mereka semasa sesuatu mesej itu sedang disampaikan. Ketika kita menyampaikan mesej kepada khalayak dan sekiranya perlu, kita mesti menyesuai atau mengubah penyampaian kita supaya menjadi lebih berkesan. Sebuah penyampaian bukanlah setakat satu persembahan oleh si komunikator malah penyampaian itu  merupakan satu perlakuan perutusan. Untuk memenuhi kehendak penyampaian itu, komunikator tidak hanya boleh menyampaikan sebarang mesej kepada khalayaknya, malah dia mesti peka kepada tindak balas khalayak terhadap utusan tersebut.

Sering kali para penyampai gagal memberi perhatian kepada khalayak mereka. Walaupun begitu, seseorang penyampai yang berkesan selalunya sedar sama ada khalayak itu faham penyampaiannya dan selalu bersedia untuk menyesuaikan mesej dengan keperluan ciri-ciri khalayak. Usaha ini mengandaikan bahawa sikap memberi dan menerima memang banyak berlaku antara para penyampai dan penerima.

Penerima sesuatu utusan (disebut juga pencerap) bukanlah seorang penerima yang pasif tetapi seorang pekongsi yang aktif dalam proses perutusan. Penerima bertindak balas sama ada secara lisan atau sebaliknya terhadap penyampai. Penyampaian mesej hanya terjadi apabila penerima (pencerap) itu faham apa yang dikatakan oleh si penyampai. Misalnya, apabila seorang Pengetua memberitahu keputusan peperiksaan kepada guru-guru di sekolahnya, para guru bukan sahaja mahu tahu berapa orang yang calon yang mendapat keputusan cemerlang, kepujian atau lulus, malah mereka juga ingin tahu keputusan itu meningkat atau merosot dari segi kualiti dan sebagainya. Jadi mereka mungkin mengemukakan soalan kepada Pengetua. Tegasnya, penyampai  dalam proses komunikasi khalayak  menjangkakan penyertaan aktif penerima. 



Komunikasi Khalayak

 KOMUNIKASI KHALAYAK

Konsep komunikasi ialah perhubungan atau interaksi yang berlaku sama ada dengan diri sendiri iaitu intrapersonal seperti bermonolog dengan diri sendiri, berfikir sendiri ataupun interpersonal iaitu komunikasi khalayak seperti ucapan atau perbahasan.
Khalayak bermaksud penerima di mana di dalam sesuatu komunikasi khalayak yang berlaku haruslah ada penyampai dan penerima. Penerima pula terdiri daripada pendengar atau audien dan juga komunikasi bertulis yang merupakan pembaca.
Khalayak boleh dibahagikan kepada dua iaitu umum dan khusus. Bagi khalayak umum, mereka merupakan orang awam yang mengikuti komunikasi khalayak contohnya penonton televisyen. Manakala khalayak khusus adalah mereka yang mempunyai minat yang tertentu dalam komunikasi khalayak. Contohnya peminat berita akan menonton rancangan berita televisyen atau peminat forum-forum agama yang mengikuti forum tersebut.
2. Apakah matlamat komunikasi khalayak?
Matlamat dalam komunikasi khalayak adalah:
a) Memberi pemahaman kepada khalayak
Penyampai memainkan peranan untuk menyampaikan komunikasi berkesan melalui penyampaian dan perlu bekerjasama dengan penerima untuk mencapai matlamat tersebut.
b) Bertukar-tukar fikiran dengan khalayak
Berlaku hubungan antara penyampai dan penerima melalui aktiviti ‘memberi dan menerima’. Perancangan awal dan analisis serta kajian harus dibuat sebelum penyampai berinteraksi dalam komunikasi khalayak.
c) Bertindak balas terhadap maklum balas khalayak
Menerima respon dari khalayak sama ada lisan ataupun bukan lisan.
d) Memenuhi kehendak khalayak
Penyampai menyusun atau membuat perancangan berdasarkan keperluan khalayak.
 Bentuk Kemahiran Komunikasi/Menyampai

1. Pengumuman
2. Kertas Kerja
3. Pengacaraan majlis
4. Laporan
5. Pengucapan awam
6. Pidato
7. Ucapan
8. Syarahan
9. Taklimat
10 Ceramah.

Sila baca setiap jenis komunikasi di atas dan buat catatan ringkas.

Sabtu, 15 Oktober 2011

IPG Kebitaraan Sukan

15 Oktober 2011 IPG Kampus Raja Melewar melakar sejarah - IPG Kebitaraan Sukan. Telah dirasmikan oleh Y.A.B. Dato' Seri Utama Tan Sri Muhyiddin Yassin tepat jam 8.30 pagi. Moga Kampus Raja Melewar akan terus melakar sejarah kecemerlangan dalam bidang sukan dan akademik. Kepada semua pensyarah khususnya pensyarah-pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, sekalung tahniah dan jutaan terima kasih atas segala usaha dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan pelancaran ini. Rasa amat bangga dapat bekerja dengan kalian yang tanpa rasa jemu sedia membantu dan bekerja tanpa mengira masa. Moga kita akan terus utuh dalam satu pasukan. InsyaAllah.

Selasa, 5 Julai 2011

Aktiviti Prabacaan


Aktiviti Prabacaan
Aktiviti prabacaan merujuk kepada aktiviti yang dijalankan untuk tujuan memberikan asas kepada murid-murid sebelum mereka boleh membaca. walaupun kemahiran-kemahiran prabacaan dapat dipelajari secara semulajadi di rumah atau di prasekolah, kemahiran ini adalah penting dalam perkembangan kemahiran membaca murid-murid. Kemahiran ini melibatkan:
1. pengamatan penglihatan
2. pendengaran
3. pergerakan mata dan tangan

1. Kemahiran Pengamatan Penglihatan
Kemahiran pengamatan penglihatan dapat dipupuk dalam pelbagai jenid aktiviti seperti aktiviti memadan dan juga arah. Aktiviti memadan adalah sebahagian daripada membaca kerana semasa murid-murid membaca, sebenarnya mereka sedang memadan huruf atau perkataan dengan bunyi yang sesuai. Pada peringkat permulaan murid-murid boleh diperkenalkan dengan memadan bentuk, diikuti corak, huruf dan akhirnya perkataan. Aplikasi permainan seperti permainan "jigsaw puzzle" boleh digunakan. Manakala aktiviti arah ini lebih merujuk kepada menyesuaikan murid-murid dengan membaca arah ayat dimulakan iaitu dari kiri ke kanan untuk tulisan rumi. Dalam situasi sebenar murid-murid tidak tahu arah ayat dimulakan. Oleh itu, semasa guru mengajar atau membacakan ayat-ayat tersebut, mereka harus menunjuk kepada huruf yang dibaca. Antara aktiviti pratulisan ialah seperti berikut:



Khamis, 23 Jun 2011

Contoh Kad Bacaan

Bahan-bahan berikut sesuai digunakan untuk murid-murid pemulihan. Konsep yang digunakan ialah bercerita. Ceritanya pula berlaku di persekitaran murid-murid.







Ahad, 22 Mei 2011

Gema Puisi Suara Kemanusiaan

Satu pengalaman manis dapat membaca puisi bersama karyawan seni Negeri Sembilan. Banyak yang kutimba. Sesungguhnya mereka aktivis seni yang hebat. Roslan Madun dengan seloka dan gurindam kemanusiaannya. Amat menyentuh kalbu. Roslee Mansor hebat dengan Siti Nor Merdeka. Aku berkesempatan membacakan puisi yang kunukil sendiri. Terima kasih pada Pak Tam yang sudi membantu membaca dan memurnikannya.


SEBUAH KEHIDUPAN

Kemarau panjang
Tiba-tiba hujan mencurah
Itulah kekuasaan Allah
Kepada seluruh kehidupan sementara ini
Malam kian sunyi
Tanpa sapaan unggas malam
Kau akan lihat masa membukakan sisip pintu-Nya
Terlihat betapa indahnya kedamaian
Terlihat betapa ketenangan bersinar gemilang
Sayap kasih memercik menyentuh urat nadiku

Wang, keringat, masa dan fikir
Hanya dambaan untuk satu kehidupan
Jiwa kita perkasa
Jiwa kita suci
Setiap langkah untuk anak bangsa
Berdaulat dan merdeka

Hari ini
Keluh di birai teluk
Kita tidak pantas lagi meneruskan nafas kedamaian ini
Kita tidak pantas lagi mengembangkan kuntum kasih ini
Kita tidak pantas lagi merenjis madu kemanusiaan
Kerana ada api yang marak diam merentung sekam
Kerana ada cinta masih bebas tanpa menghalang gerak
Kerana ada cinta terus meracik licik dalam lipatan
Kerana ada cinta menusuk serat daging kita

Setelah sekian lama kita menyusun dan mewarna
Bangsa berdaulat bangsa bertamadun
Negara yang kujunjung berdiri megah
Tetapi sayang seribu kali sayang  
Yang kenal kata tetapi lupa maknanya
Yang kenal angka tetapi lupa nilainya
Yang kenal bunyi tetapi lupa nadanya
Yang kenal lagu tetapi lupa iramanya
Yang kenal akhir tetapi lupa awalnya
Yang cerah mata tetapi gelap hatinya
Yang cerdik minda tetapi dungu peribadi
Yang cantik bahasa tetapi buruk tingkah
Yang lembut budi tetapi hina lagaknya
Yang merdu suara tetapi pincang tarinya
  
Takutlah anak bangsaku
Takutlah pada seruling Israfil
Takutlah pada sentakan Izrail
Takutlah pada cemeti Mungkar dan Nakir
Takutlah anak bangsaku

Sujudlah
Basahkan bibirmu dengan zikrullah
Sasarkan renunganmu ke Qiblat Allah
Luruhkan dedaun dosa
Bajai pepohon pahala
Marilah kita renjis mawar 
Jangan pernah lupa
Jadilah bangsa yang bijaksana
Yang tahu usulmu dan akhirmu…

Sabtu, 21 Mei 2011

SMKAP dalam Kenangan

Tahun 1996 – mula menjejak kaki ke SMKA Pedas membuat hati rasa sayu, bahagia dan syukor kepada Allah telah memakbulkan doaku. Alhamdulillah, aku berjaya juga ditempatkan di sekolah agama yang aku impikan selama ini. Inilah sekolah pertamaku selepas tamat pengajian ijazah pertama. Takut pun ada, suka apatah lagi, kerana pelajar-pelajarnya bijak-bijak dan pandai-pandai belaka. Maklumlah dulunya aku mengajar di sekolah rendah. Dah masuk sekolah menengah lain pula murid yang dihadap. Semua sudah dewasa. Awal pengajaranku, aku masih menganggap mereka seperti anak-anak kecil yang perlu diusap dan dimanja. Aku mula belajar mendekati mereka setelah aku tahu kelemahan diri. Banyak buku yang kubaca untuk memperbaiki diri sebagai guru kepada pelajar-pelajar remaja yang pelbagai karenah.
Pada awalnya, pengetua Puan Khuzaimah telah memberikan tanggung jawab kepadaku untuk mengajar Tingkatan Satu. Aku terima dengan tangan terbuka. Seronok. Pelajar-pelajar pun nampak seronok dengan cara aku mengajar. Aku mengikut mereka hingga ke tingkatan tiga. Aku bangga dengan keputusan peperiksaan pelajar-pelajarku. Mereka berjaya dengan cemerlang. Inilah kejayaan dan pulangan yangku dapat. Tidak ada tukar gantinya kecuali berkongsi kegembiraan dengan mereka. Setiap tahun pada tarikh 16 Mei, mejaku dipenuhi dengan pelbagai cenderahati tanda kasih pelajar-pelajarku kepadaku. Tersentuh membaca nukilan mereka yang masih kusimpan hingga ke hari ini.
Tahun 1999, aku diberi kepercayaan untuk mengajar tingkatan 4 dan 5 pula. Ah, pelajar-pelajarnya lagi lain. Ketika mengajar aku rasakan seperti bercakap dengan dinding, dengan kerusi, dengan meja atau entah dengan pepatung manusia. Mereka tak berdetik. Kalau jarum jatuh pasti dapat didengari. Sekali lagi aku menghadapi masalah. Mulalah aku mencari buku, membaca pelbagai kaedah yang sesuai untuk mereka. Berbincang dengan rakan-rakan. Aku dapat formulanya. Namun tak banyak perubahan. Entahlah. Mungkin mereka ni duduk di sekolah agama. Aku sering juga didatangi pelajar-pelajarku bercerita tentang masalah mereka. Aku bangga kerana mereka memilih aku untuk bercerita. Aku dengar dan sering berkongsi cerita suka duka dengan mereka.
Paling tak boleh kulupakan ialah ketika pelajar-pelajarku hendak menduduki peperiksaan. Mulalah mereka mencari aku untuk bersalaman dan memohon maaf. Padaku tak semudah itu untuk memohon maaf. Aku katakan  pada mereka, kalau hendak memohon maaf mesti nyatakan kesalahan dan kesilapan. Berkata benar memang pahit dan sukar. Aku tak mahu mereka hipokrit. Hamka ada mengatakan, orang yang sengaja menyorokkan kebenaran adalah orang yang lemah. Akhirnya mereka terpaksa menyatakan kebenaran sebelum bersalaman dan memohon maaf. Ada yang mengambil masa sehingga seminggu untuk menyatakan kesilapan masing-masing. Banyak yangku dapat. Banyak juga yang kubelajar. Terima kasih anak-anak didikku. Mereka berjaya kini. Berkat keikhlasan dan keberkatan. Airmataku pasti gugur tanpa dapatku tahan setiap kali mereka akan meninggalkan sekolah setelah tamat tingkatan lima. Entah bila dapat ketemu kembali.
Aku mula mengenal kelebihan dan kekurangan diri. Mungkin juga aku tergolong dalam peaceful phlegmatic. Suka berterus terang, agak luwes dan mahir dalam perhubungan. Bahkan tidak keterlaluan, mengenali diri sendiri jauh lebih penting daripada mengenal orang lain dalam usaha mewujudkan suatu perhubungan yang harmoni. Di SMKAP, barulah aku mendapat sedikit pencerahan dan panduan dalam diri sendiri. Itulah yang dikatakan, ilmu yang didapati daripada mujahadah lebih mendalam daripada apa yang kita dapat daripada mentelaah. Membaca buku hanya mengutip data, fakta, dalil dan bukti tetapi membaca kehidupan barulah tersingkap segala rasa, makna dan getaran untuk bermuhasabah dan membuat pembetulan.
Tahun 2000, aku berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat kedoktoran. Saat ini, paling sukar untuk aku lalui. Ketika itu, aku mengajar Bahasa Melayu di tingkatan lima. Saat aku meninggalkan mereka, ramai yang menitiskan airmata, termasuk pelajar lelaki. Pastinya aku juga tidak kuat menghadapi situasi ini. Julai 2000, aku tinggalkan mereka. Tak sempat untuk hantar mereka ke dewan peperiksaan. Namun aku tinggalkan wasiat agar mereka menjadi insan yang cemerlang. Aku ingatkan mereka seperti ibu mengingatkan anak-anaknya. Ah..payah rupanya. Aku katakan bahawa aku akan sentiasa mendoakan kejayaan mereka. Berkat doa kalian jugalah, aku berjaya berada di tahap ini. Aku berjaya menamatkan pengajianku dalam tempoh masa yang diberikan. Terima kasih. Doa kalian yang tak putus membuatkan cikgu juga berjaya seperti kalian.
Hari ini, aku bahagia kerana setiap tibanya Hari Raya, mereka, anak-anak didikku pasti mengujungiku. Kadangkala tak menang tangan melayan mereka. Mereka semuanya sudah berjaya dalam kehidupan. Betapa bangganya cikgu melihat kamu. Jangan lupa, doakanlah agar cikgu sentiasa sihat dan bahagia sepertimana cikgu sentiasa mendoakan kebahagiaan kalian.
Menjadi guru
Tak semudah yang disangka
Bermandi keringat
Menabur bakti
Tanpa mau dipeduli

Menjadi guru
Bukan untuk dipuja
Bukan juga untuk didewakan
Tetapi adalah perjuangan
Rela meluahkan bahagia
Menelan duka nestapa
Berkongsi bahagia dan duka

Betullah kata Usman
Guru adalah pemberi paling setia
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang guru mampu membakar diri
Jika hari ini seorang guru mampu memberi inspirasi
Jika hari ini seorang guru mampu mengharungi pahit getir
Jika hari ini seorang guru mampu mencabar minda didiknya
Jika hari ini seorang guru mampu melakar jiwa yang mentah
Jika hari ini seorang guru mampu meniti kehidupan di hujung dunia

Kaulah insan yang teristimewa
Mewakili seribu buku
Menjadi pelita dan lampu segala
Untuk manusia tanpa mengira bangsa.


Isnin, 30 Ogos 2010

Hidup ini bukan semudah yang disangka...

Dah lama aku tak menulis. Membaca tulisan teman juga tak berkesempatan. Banyak rupanya yang aku tertinggal. Kadang-kadang terfikir di benak ini... aku ke yang tak pandai membahagikan masa kerana Allah telah beri kita cukup masa untuk menguruskan kehidupan yang dibentangkan. Entahlah. Tambahan sejak akhir-akhir ini terlalu banyak beban yang terpaksa kugalas. Kadang-kadang tidur malamku juga tak lena. Tapi, aku akan tetap ceria ketika bekerja. Apapun aku tetap bersyukur kepada-Mu Ya ALLAH kerana dugaan-Mu buat aku semakin dekat pada-Mu. Kepada teman-teman yang sentiasa menceriakan aku, maaf kupinta kerana sering tak dapat menyertai kalian. Selepas ini tanggungjawabku semakin berat di jabatan. Maafkan aku jika aku tak sempurna. Namun... aku bertuah dapat bersama kalian... Moga kalian memahamiku.
Hidup ini bukan semudah yang disangka. Perjuangan kehidupan kadangkala pahit dan sukar. Namun kesukaran itu akan terubat, jika kita sentiasa yakin bahawa ALLAH SWT sentiasa bersama-sama orang yang sabar.
       

Isnin, 17 Mei 2010

Audit PISMP Ambilan 2007

Sepanjang minggu ini akan berlangsung audit susulan bagi PISMP Amb. 2007. Semoga dengan audit susulan ini semua kelemahan akan dapat diatasi sebelum audit sebenar oleh pihak MQA pada bulan Julai nanti. Audit susulan ini dilaksanakan untuk membantu pihak pengurusan IPG khususnya Kampus Raja Melewar memperbaiki sistem kawalan dalaman dan mengukuhkan intergriti dalam semua aktiviti yang dijalankan melalui pendekatan yang sistematik. Seterusnya untuk meningkatkan akauntabiliti dan memastikan penggunaan sumber-sumber secara efisien dan efektif tanpa menggugat kualiti perkhidmatan. Sebagai pensyarah perkara-perkara berikut perlu diambil perhatian serius,
1.  Objective Evidence
2.  LAM PT 09-02
3.  Bahan rujukan pengajaran dan pembelajaran
4.  Kerja Kursus pelajar.
Rektor juga mengingatkan kepada semua tenaga pengajar agar menyediakan beberapa buah buku rujukan yang MESTI dibaca oleh pelajar bagi tujuan meningkatkan kemahiran berfikir mereka.
Semoga majlis audit berjalan lancar dan mencapai kualiti dan matlamat seperti yang dihasratkan.

Selasa, 11 Mei 2010

Harum Menghilangkan Bau

Emosi amat diperlukan untuk pengendalian diri, semangat dan ketekunan serta kemampuan memotivasikan diri sendiri dan bertahan menghadapi kegagalan. Menurut Mayer dan Salovey, kepintaran emosi membenarkan kita berfikir secara kreatif dan menggunakan emosi bagi menyelesaikan masalah. Individu yang dapat mengawal dan memahami emosinya adalah individu yang mempunyai kecerdasan. Kajian menunjukkan kecerdasan emosi bekerja pada bahagian otak kanan. Seseorang yang berfikir dengan otak kanan adalah mereka yang bersifat imaginatif, terbuka, ceria dan riang. Hakikatnya kecerdasan emosi menjadi tunjang kepada kecerdasan intelek dalam menjamin kualiti produk yang dihasilkan. Pendidik bukan sahaja perlu mengetahui elemen kecerdasan emosi tetapi mereka juga harus menyedari, memahami dan mengimplementasikan elemen itu dalam semua mata pelajaran yang diajar. Justeru janganlah hendaknya peristiwa yang baru berlaku berulang kembali. Memalukan... bijak tetapi tipis ilmu???

Jumaat, 7 Mei 2010

Segamat....tinggal kenangan indah.

Alhamdulillah, Bengkel Penghayatan KOMSAS selesai dilaksanakan di SK Temenggong Abdul Rahman, Segamat. Tahniah diucapkan kepada semua peserta kursus yang bersungguh-sungguh mengambil bahagian dalam bengkel tersebut. Harapan saya, apa yang dipelajari akan digunakan di sekolah. Sesungguhnya teknik dan strategi yang dipelajari mampu memberikan keseronokan belajar kepada murid-murid. Saya juga berharap peserta kursus yang hadir akan menyebarluaskan ilmu yang dipelajari kepada rakan guru di sekolah masing-masing.
Saya bangga  setiap aktiviti yang dilaksanakan semasa bengkel, memperlihatkan kesungguhan peserta yang tidak berbelah bagi. Seronok melihat peserta-peserta menyanyi, berseloka, bergurindam, berpantun, berdrama dan bersyair. Mereka semuanya memang GURU yang hebat dan berbakat. Tahniah...

Rabu, 3 Mac 2010

Masa dan Usia

Sedar tak sedar, masa terlalu pantas meninggalkan diriku. Sedar-sedar sudah berada di sini. Tak sedar-sedar, tak mungkin dapat kukejar. Terlalu jauh..... Tak pasti, apakah semua keperluan telah kupenuhi. Kadang-kala  kurasakan aku seperti anak-anak kecil yang masih perlukan belaian ibu dan ayah. Seronok berada dalam dakapan mereka...
Masih dalam usaha untuk lebih akrab dengan diri sendiri. Akan terus berusaha, moga makin kenal diri, lebih hampir cahaya Illahi. Apakah yang sudah kulakukan sepanjang usia dikurniakan. Apakah yang telah dihabiskan dengan masa yang dibentangkan. Apa yang pasti usia makin bertambah, masa makin berkurang. Terima kasih atas doa yang kalian titipkan. Tak mungkin kulupa. Doa supaya saya selamat, bahagia dan doa apa yang kuhajat tercapai. Jangan lupa doakan agar ilmuku tentang Islam bertambah kerana semakin banyak saya membaca, semakin banyak rupanya yang belum saya ketahui. Doakan agar saya istiqamah. Kepada anak-anak didikku, jangan lupa doakan gurumu. Jangan kecil hati atas teguranku. Marah gurumu adalah kasih sayang yang tidak berbelah bagi...

Rabu, 10 Februari 2010

Selamat Hari Lahir

Selamat Hari Lahir Manis,
hendaknya kebahagiaan sentiasa mengiringi perjalanan hidupmu...
hendaknya senyuman sentiasa menghiasi bibirmu...
hendaknya mimpi indah sentiasa mengulit tidurmu...
semoga kau tabah dalam apa jua dugaan dan cabaran yg tiba...
selamat hari lahir.
ikhlas dariku untukmu....

Selasa, 9 Februari 2010

Tak Mengapa (buat teman yang kehilangan)

Tidak mengapa
Jika kau kehilangan
tak memperoleh semula
kau tidak akan papa

Jika kau merasa kecewa
Itu tidak wajar
kerana kehilangan yang sebenar
ialah kehilangan iman dan pegangan
wajar kau tangisi
wajar kau kesali
kerana kehilangan ini
tidak ada pengganti

Tidak mengapa
kehilangan sementara
penuh hikmah
tanda kau disayangi!

Jumaat, 5 Februari 2010

Tak sangka selisih kereta jenazah rakan maut nahas

Tak sangka pada jam 12 tengah hari hari Jumaat (5 Februari) ketika perjalanan pulang dari tempat kerja, saya selisih dengan kereta jenazah yang diiringi oleh ramai Pegawai Polis bermotosikal. Saya menyisir ke tepi untuk beri laluan. Mulut tetap mengucapkan Innalillah Wainnaillaihirajiuun, insan ini bertuah kerana dijemput pada hari yang mulia, hari Jumaat. Yang mengiringi jenazah, ramai rupanya. Hati berkata, mesti orang besar. 

Berita TV 3 tengah hari mengejutkan saya, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan II), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Hazam Abd. Halim maut nahas jalan raya. Mulalah kenangan mengimbau kembali. Saya bertanya pada diri saya adakah mangsa nahas, rakan saya ketika bersekolah dahulu. Melihat gambarnya, sah. Mohd Hazam ialah rakan ketika berada di Tingkatan 6. Kumpulan kami sama-sama naik bas ke sekolah. Saya dari Bahau dan arwah serta rakan-rakannya dari Batu Kikir.

Arwah seorang yang pendiam, tak banyak bercakap dan baik hati. Boleh dikatakan arwahlah pelajar cemerlang dalam kelas kami. Rasanya baru sangat saya bertemu dengan YB Datuk Syamsul Kahar (kira-kira 3 bulan lepas di Hospital KPJ. Ketika itu YB Datuk sedang mengiringi ibunya yang sakit dan saya menghantar ayah) yang ada menyebut bahawa beliau bangga sangat, rakan-rakannya semua dah berjaya. Dari beliaulah saya tahu arwah memegang jawatan tinggi dalam PDRM. Walaupun lama tak berjumpa, YB Datuk masih mengenali saya. Datuk banyak bercerita tentang teman-teman sekelas yang hampir semua telah berjaya memegang jawatan tinggi dalam kerajaan. Terdetik juga di hati saya ketika itu, alangkah seronoknya jika kami dipertemukan semula. Sebenarnya, saya, Datuk Syamsul Kahar Mohd Deli, Datuk Mohd Hazam Halim (arwah), Ramli Osman (JPNS) ialah rakan sekelas ketika berada di tingkatan 6 di Sekolah Menengah Zaaba, Kuala Pilah. Yang lain tak dapat saya jejaki.

Allah jua Maha Berkuasa, rupanya saya hanya sempat selisih dengan kereta yang membawa jenazahnya. Moga Allah menempatkan arwah di tempat orang-orang yang soleh. Takziah kepada keluarga arwah. Memang perit, kehilangan orang yang disayangi. Apa yang mampu saya katakan, hanyalah SABAR dan REDA.... Al-Fatihah.

Isnin, 25 Januari 2010

Terima Kasih

Terima kasih buat En. Azmi yang telah menaja makan tengah hari selepas mesyuarat JPM pada 25 Januari. Tak pernah rasa nasi beriani sesedap itu. Memang enak. Mungkin aura orang yang belanja. Moga murah rezeki, dipermudahkan segala urusan, dan bahagia selalu hendaknya. Ada rezeki kongsi-kongsilah lagi...