Sabtu, 19 Mei 2012


KAJIAN  TINDAKAN

Kajian Tindakan ialah suatu kajian yang berbentuk tindakan praktik (intervensi) yang bertujuan untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti amalan penyelidik. Penyelidik dapat mengembangkan kemahiran menyiasat pengajaran diri sendiri di samping memupuk keinginan memperbaiki pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta persekitaran kerja pendidik dan pelajar.

PROSES  KAJIAN  TINDAKAN

Kajian Tindakan melibatkan proses merancang, melaksana, memerhati dan mereflek secara sistematik.

REFLEKSI
Kajian Tindakan bermula daripada proses refleksi yang dilakukan oleh penyelidik terhadap tugas seharian mereka yang menyentuh kekuatan dan kelemahan P&P serta masalah yang dihadapi dalam melaksanakan P&P.

Apa  itu  Refleksi?
Refleksi merupakan proses mengingat kembali pengalaman yang telah dilalui, memikirkannya, mempertimbangkannya seterusnya membuat penilaian terhadap pengalaman tersebut.
Proses refleksi perlu dilakukan secara kritis dalam melihat pelbagai isu dan masalah yang timbul dalam tugas seharian. Proses refleksi boleh dilakukan secara individu ataupun berkumpulan.

a. Mengapa  perlu  Refleksi?

Refleksi  perlu  untuk  membolehkan  penyelidik:

Menilai  amalan  pengajaran  kendiri  dan  melakukan  penambahbaikan  P&P.
Meningkatkan  kualiti  diri  sebagai  penyelidik.
Menilai  kesesuaian  strategi  P&P  dan  Bahan  Bantu  Mengajar  (BBM).
Memperkasakan penyelidik untuk membuat perubahan ke arah peningkatan profesionalisme.
Menghurai  penjelasan  tentang  pelajar,  interaksi  bilik  darjah  serta  proses  P&P.

b. Bila  Refleksi  Dilakukan?
Refleksi  Peringkat  Awal
Refleksi peringkat ini dilakukan sebelum memulakan sesuatu Kajian Tindakan. Antara langkah yang boleh dijalankan:

Menjelaskan  isu,  fenomena  atau  masalah  pedagogi.
Menganalisis kefahaman kendiri terhadap isu, fenomena atau masalah pedagogi.
Menentukan  isu  atau  bidang  keperihatinan.
Mengenalpasti  tindakan  intervensi  yang  bersesuaian.
Contoh  soalan  untuk  mencetus  refleksi  pada  peringkat  awal:
Kenapa  pelajar  saya  nampak  seperti  tidak  memberi  perhatian?
Mengapa pelajar saya tidak memperolehi markah yang memuaskan dalam kuiz yang saya jalankan?
Apakah  strategi  yang  perlu  saya  gunakan?
Bagaimanakah  saya  melaksanakan  strategi  itu?

Refleksi  Peringkat  Semasa  Kajian
Refleksi  peringkat  ini  dilakukan  semasa  kajian  sedang  berlangsung  iaitu:
Membuat  keputusan  awal  terhadap  perjalanan  proses  tindakan  (intervensi).
Menerima  komen  dan  teguran  spontan.
Menilai  keberkesanan  tindakan  intervensi  yang  dijalankan.
Contoh  soalan  untuk  mencetus  refleksi  semasa  kajian:
Adakah  saya  setuju  dengan  proses  tindakan  yang  diambil?
Apakah  pandangan  saya  terhadap  tindakan  tersebut?
Adakah  strategi  yang  saya  laksanakan  berkesan?
Apakah  halangan  yang  dihadapi  semasa  menjalankan  tindakan  tersebut?

Refleksi  Peringkat  Selepas  Kajian
Refleksi  peringkat  ini  dilakukan  selepas  menjalankan  kajian  tindakan  untuk:

Menghasilkan  perubahan  dan  peningkatan  diri  guru  dan  murid.
Menilai  kesan  tindakan  yang  telah  diambil.
menentukan  rumusan  yang  boleh  dilakukan.
Merancang  tindakan  susulan.

MERANCANG

Pada peringkat ini penyelidik merancang aktiviti-aktiviti intervensi yang sesuai untuk mengatasi masalah yang telah dikenal pasti sebagai fokus kajian. Peringkat ini juga perancangan boleh dilakukan bersama-sama rakan kumpulan untuk merancang langkah-langkah intervensi yang bersepadu.

Mengenalpasti  Fokus  Masalah
Penentuan fokus kajian penting untuk memudahkan penyelidik membuat perancangan tindakan seterusnya agar tindakan yang bakal diambil berkesan untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

Perkara-perkara  yang  perlu  dipertimbangkan  untuk  menentukan  fokus  kajian:

Skop  Kajian
Kerelevanan  (relevility)
Kebolehurusan  (manageability)
Keserasian  (compatibility)

Menentukan  Objektif  Kajian

Objektif kajian merupakan tujuan yang ingin dicapai oleh penyelidik melalui kajian yang dilakukan.

Merancang  Tindakan  Intervensi

Aspek-aspek berikut perlu diberi perhatian untuk menentukan jenis tindakan intervensi yang hendak dijalankan:

Memastikan  matlamat  tindakan  intervensi  selaras  dengan  objektif  kajian.
Menentukan  tempoh  pelaksanaan  bagi  setiap  aktiviti.
Mengenalpasti  bahan-bahan  yang  diperlukan  untuk  menjalankan  aktiviti.
Menetapkan cara pemantauan dan kaedah penilaian keberkesanan tindakan intervensi yang dijalankan. cth: ujian, soal-selidik, pemerhatian, temu bual dan sebagainya.
Meletakkan penanda aras pencapaian minimum tindakan intervensi untuk mengesahkan keberkesanannya.



Ahad, 19 Februari 2012

Tajuk Pembentangan Kumpulan (GSTT)

Kemahiran Berbahasa Bacaan dan Kefahaman

  • Definisi
  • Teknik membaca
  • Strategi melaksanakan kemahiran membaca menggunakan salah satu teknik yang dikemukakan.

Selasa, 14 Februari 2012

 Komunikasi

Komunikasi ialah proses yang bermula apabila sesuatu mesej (maklumat) daripada penyampai kemudian dipindahkan menerusi alat atau saluran khas kepada penerima yang kemudiannya memberi maklum balas (mengekod dan mentafsir)  terhadap mesej tersebut yang mengembalikan isyarat dalam bentuk sama ada mesej tersebut difahami atau tidak difahami (Sulaiman Md Yassin, et.all, 2002)

Komunikasi khalayak pula merujuk kepada proses komunikasi yang tersebar kepada kumpulan sasar yang tertentu. Dalam konteks komunikasi khalayak atau komunikasi awam, penerima sesuatu mesej itu dikenali sebagai khalayak kerana penerima utusan terdiri daripada jumlah individu yang ramai. Walaupun begitu, tidak semua penerima dianggap sebagai khalayak.

Konsep

·      Penyampai : Individu atau sesuatu yang menjadi punca sesuatu komunikasi itu bermula. 

·      Khalayak : Khalayak terdiri daripada individu yang memilih untuk mendedahkan diri mereka kepada sesuatu utusan yang disampaikan oleh sesuatu sumber komunikasi.

·   Mesej: Mesej merupakan sesuatu yang ingin disampaikan dalam bentuk perasaan, fikiran, pendapat atau fakta.

KONSEP KOMUNIKASI KHALAYAK

Sebelum kita cuba mempengaruhi khalayak, malah sebelum kita mula berucap, kita patut memastikan bahawa khalayak sudah bersedia mendengar atau menerima perkara yang hendak kita sampaikan dan mereka berupaya memahaminya. Oleh itu, para komunikator patut terus menganalisis khalayak mereka semasa sesuatu mesej itu sedang disampaikan. Ketika kita menyampaikan mesej kepada khalayak dan sekiranya perlu, kita mesti menyesuai atau mengubah penyampaian kita supaya menjadi lebih berkesan. Sebuah penyampaian bukanlah setakat satu persembahan oleh si komunikator malah penyampaian itu  merupakan satu perlakuan perutusan. Untuk memenuhi kehendak penyampaian itu, komunikator tidak hanya boleh menyampaikan sebarang mesej kepada khalayaknya, malah dia mesti peka kepada tindak balas khalayak terhadap utusan tersebut.

Sering kali para penyampai gagal memberi perhatian kepada khalayak mereka. Walaupun begitu, seseorang penyampai yang berkesan selalunya sedar sama ada khalayak itu faham penyampaiannya dan selalu bersedia untuk menyesuaikan mesej dengan keperluan ciri-ciri khalayak. Usaha ini mengandaikan bahawa sikap memberi dan menerima memang banyak berlaku antara para penyampai dan penerima.

Penerima sesuatu utusan (disebut juga pencerap) bukanlah seorang penerima yang pasif tetapi seorang pekongsi yang aktif dalam proses perutusan. Penerima bertindak balas sama ada secara lisan atau sebaliknya terhadap penyampai. Penyampaian mesej hanya terjadi apabila penerima (pencerap) itu faham apa yang dikatakan oleh si penyampai. Misalnya, apabila seorang Pengetua memberitahu keputusan peperiksaan kepada guru-guru di sekolahnya, para guru bukan sahaja mahu tahu berapa orang yang calon yang mendapat keputusan cemerlang, kepujian atau lulus, malah mereka juga ingin tahu keputusan itu meningkat atau merosot dari segi kualiti dan sebagainya. Jadi mereka mungkin mengemukakan soalan kepada Pengetua. Tegasnya, penyampai  dalam proses komunikasi khalayak  menjangkakan penyertaan aktif penerima. 



Komunikasi Khalayak

 KOMUNIKASI KHALAYAK

Konsep komunikasi ialah perhubungan atau interaksi yang berlaku sama ada dengan diri sendiri iaitu intrapersonal seperti bermonolog dengan diri sendiri, berfikir sendiri ataupun interpersonal iaitu komunikasi khalayak seperti ucapan atau perbahasan.
Khalayak bermaksud penerima di mana di dalam sesuatu komunikasi khalayak yang berlaku haruslah ada penyampai dan penerima. Penerima pula terdiri daripada pendengar atau audien dan juga komunikasi bertulis yang merupakan pembaca.
Khalayak boleh dibahagikan kepada dua iaitu umum dan khusus. Bagi khalayak umum, mereka merupakan orang awam yang mengikuti komunikasi khalayak contohnya penonton televisyen. Manakala khalayak khusus adalah mereka yang mempunyai minat yang tertentu dalam komunikasi khalayak. Contohnya peminat berita akan menonton rancangan berita televisyen atau peminat forum-forum agama yang mengikuti forum tersebut.
2. Apakah matlamat komunikasi khalayak?
Matlamat dalam komunikasi khalayak adalah:
a) Memberi pemahaman kepada khalayak
Penyampai memainkan peranan untuk menyampaikan komunikasi berkesan melalui penyampaian dan perlu bekerjasama dengan penerima untuk mencapai matlamat tersebut.
b) Bertukar-tukar fikiran dengan khalayak
Berlaku hubungan antara penyampai dan penerima melalui aktiviti ‘memberi dan menerima’. Perancangan awal dan analisis serta kajian harus dibuat sebelum penyampai berinteraksi dalam komunikasi khalayak.
c) Bertindak balas terhadap maklum balas khalayak
Menerima respon dari khalayak sama ada lisan ataupun bukan lisan.
d) Memenuhi kehendak khalayak
Penyampai menyusun atau membuat perancangan berdasarkan keperluan khalayak.
 Bentuk Kemahiran Komunikasi/Menyampai

1. Pengumuman
2. Kertas Kerja
3. Pengacaraan majlis
4. Laporan
5. Pengucapan awam
6. Pidato
7. Ucapan
8. Syarahan
9. Taklimat
10 Ceramah.

Sila baca setiap jenis komunikasi di atas dan buat catatan ringkas.